AKHYAR Rashid  diasak pemain Taiwan   di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. FOTO Bernama
AKHYAR Rashid diasak pemain Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Taiwan Gary White mengakui skuad Harimau Malaya mempunyai barisan pemain terbaik hingga mampu mencipta kemenangan pada perlawanan kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.

Walaupun barisan pemain Taiwan seolah tidak dapat menerima kekalahan kepada Malaysia namun White mengakui banyak perkara perlu dilakukan jika mahu mencipta kemenangan pada perlawanan akan datang.

"Kita sudah beraksi dengan baik terutamanya pada babak pertama perlawanan dengan menjaringkan gol pembukaan di hadapan penyokong tuan rumah.

"Malaysia meninggalkan lebih banyak ruang di bahagian pertahanan sekali gus melihat itu adalah kelebihan untuk menjaringkan gol.

"Cuma kena terima kekalahan ini dan secara keseluruhan saya berpuas hati terhadap persembahan pemain," katanya, dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya mengakhiri kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan kemenangan 3-1 mengatasi Taiwan.

Tanpa kehadiran enam tonggak utama akibat kecederaan tidak menghalang skuad kendalian Kim Pan-gon untuk memastikan tiga mata milik mereka.

Kemenangan itu belum lagi cukup untuk mengesahkan kedudukan Malaysia untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila perlu menunggu keputusan membabitkan perlawanan Oman menentang Kyrgyzstan esok.

Gol Malaysia disumbangkan Safawi Rasid, Paulo Josue dan Adib Raop manakala jaringan Taiwan menerusi Yu Yao Hsing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 11:39 PM