SAFWAN (kanan) ketika menentang Kyrgyzstan. FOTO Kyrgyzstan Football
SAFWAN (kanan) ketika menentang Kyrgyzstan. FOTO Kyrgyzstan Football
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Corak permainan diperagakan pertahanan skuad kebangsaan, Safwan Mazlan ketika berdepan Kyrgyzstan pada kelayakan Piala Dunia 2026 semalam mendapat reaksi positif pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner.

Beliau berkata, biarpun kali pertama membarisi kesebelasan utama skuad Harimau Malaya selain masih kurang pengalaman, pemain berusia 22 tahun itu berjaya memperagakan aksi terbaiknya.

Malah kata Steinbruckner, pemain TFC kelahiran Batu Rakit, Kuala Nerus itu juga dilihat tenang mengawal benteng pertahanan selain mampu membuat hantaran berkualiti kepada rakan sepasukannya sebelum mengikat tuan rumah dengan keputusan 1-1.

"Walaupun baru kali pertama mewakili skuad Malaysia, corak permainannya mantap.

"Malah dia (Safwan) juga tenang dan bijak membaca pergerakan sebelum berjaya mematahkan serangan lawan, hantarannya juga baik.

"Saya lihat pemain ini adalah permata baharu skuad kebangsaan, buat dua lagi pemain kami iaitu Akhyar Rashid dan Safawi Rasid yang diberikan peluang beraksi, tahniah juga kerana berjaya membantu pasukan Malaysia membawa pulang satu mata," ujar Steinbruckner ketika dihubungi.

Jurulatih dari Croatia itu bagaimanapun berharap Safwan tidak hanyut dengan pujian, sebaliknya perlu bekerja lebih keras selain perlu memperkemaskan lagi corak permainannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 9:31 PM