ZINEDINE ZIDANE
ZINEDINE ZIDANE
AFP

MADRID: Zinedine Zidane berkata Liga Juara-Juara berada “dalam DNA Real Madrid” selepas skuad kendaliannya menafikan asakan Bayern Munich untuk mara ke final keempat dalam lima tahun.

Real berpeluang meraih gelaran ketiga berturut-turut Liga Juara-Juara selepas dua jaringan Karim Benzema dan pertahanan kental pada minit-minit terakhir mengekalkan keputusan 2-2 awal pagi tadi - untuk kemenangan 4-3 secara agregat.

Real sudah terlepas kejuaraan La Liga kepada seteru tradisi Barcelona musim ini, tetapi Zidane berkata kejohanan tertinggi Eropah itu sentiasa menampilkan prestasi terbaik kelab, yang sudah memenanginya sebanyak 12 kali.

“Ia berada dalam DNA kelab. Kami tidak pernah berhenti berjuang hingga ke minit terakhir, sama seperti yang pemain-pemain Bayern lakukan malam ini,” kata bekas pemain Real dan Perancis itu.

Menurut Zidane, Benzema membuktikan mengapa dia layak memulakan permainan selepas penyerang Perancis itu bermula di bangku simpanan ketika perlawanan separuh akhir pertama di Munich.

“Dia berhak menjaringkan gol, dia bekerja keras dan sentiasa memberikan persembahan terbaiknya.

“Permainannya tidak pernah berubah dan dia penting buat kami. Jaringan malam ini juga penting buatnya,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 12:00 PM