SAFWAN pamer aksi mantap di benteng pertahanan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan. -FOTO FAM
SAFWAN pamer aksi mantap di benteng pertahanan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan. -FOTO FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penampilan pertama tonggak pertahanan muda, Safwan Mazlan di peringkat antarabangsa nyata mencuri tumpuan sepanjang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan yang berkesudahan seri 1-1 di Bishkek, malam tadi.

Biarpun baru berusia 22 tahun, pemain kelahiran Batu Rakit, Kuala Nerus di Terengganu itu langsung tidak menunjukkan rasa gugup sebaliknya memperagakan aksi mantap bersama Dominic Tan, Matthew Davies, Corbin Ong dan Dion Cools di benteng pertahanan.

Kecemerlangan tonggak Terengganu FC itu dipuji bekas pertahanan kebangsaan, Shahrom Kalam yang terkejut dengan aksi bertenaga dan tenang ditampilkan pemain muda itu khususnya dalam perlawanan getir itu.

"Bagi saya (Safwan) amat meyakinkan. Kita tengok daripada riak muka dia, macam tiada apa-apa. Tiada muka cemas, rasa takut, tiada.

"Dia tenang dan sangat bersedia untuk bermain. Ini sesuatu yang baik dan ini satu lagi prospek buat skuad kebangsaan. Tapi saya sangat suka ketenangan dia mengawal dari bahagian belakang.

"Dia bukannya menyorok di belakang Dominic Tan. Dia keluar dapatkan (bola). Banyak benda yang dia buat tepat sebagai seorang pemain," katanya yang bertindak sebagai tetamu dalam program siaran langsung terbitan stesen televisyen swasta tempatan.

Kim Pan-gon membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama termasuk mempertaruhkan Safwan di jentera pertahanan, di mana ia adalah 'caps' pertama bersama skuad senior buatnya.

Dalam aksi itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil ledakan Gulzhigit Alykulov untuk tuan rumah, manakala gol Malaysia diraih menerusi jaringan sendiri Odilzhon Abdurakmanov yang tertanduk ke gawang Kyrgyzstan selepas gagal mengeluarkan bola sepakan percuma Endrick dos Santos di babak pertama.

Selepas ini pasukan negara akan menanti kunjungan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini, dengan kemenangan besar menjadi buruan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 1:11 PM