PEMAIN City meraikan kejayaan menjulang trofi EPL kali keempat berturut-turut. FOTO AFP
PEMAIN City meraikan kejayaan menjulang trofi EPL kali keempat berturut-turut. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Manchester City menyaksikan langit kelabu bertukar menjadi biru ketika mereka meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali keempat berturut-turut, dengan peminat berduyun-duyun ke jalan raya di bandar itu untuk menceriakan wira mereka sekali lagi.

City membuktikan keberanian mereka dengan menamatkan perlumbaan kejuaraan dengan bergaya hasil kemenangan 3-1 ke atas West Ham United pada hari terakhir musim ini dengan mengumpul 91 mata dan menjadi kelab England pertama memenangi empat kejuaraan liga berturut-turut.

Pemain dan kakitangan melambai kepada peminat ketika konfeti berterbangan dan suar asap biru menyala di sepanjang laluan bas yang terbuka di bahagian atas, hanya beberapa jam selepas beribu-ribu orang mengambil bahagian dalam Larian Great Manchester.

Sama ada ia adalah majlis anti klimaks yang berlangsung sehari selepas kekalahan final Piala FA dengan musuh ketat Manchester United 1-2 namun tidak dapat melemahkan semangat mereka.

"Kami gembira dengan musim ini tetapi kami mahu kembali dan mencuba memenangi lebih banyak lagi kejuaraan," kata pemain terbaik EPL, Phil Foden, yang menjaringkan 19 gol liga.

"Ia adalah rasa dahaga dalam diri saya untuk memenangi trofi. Kami mempunyai kumpulan pemain yang hebat. Ia adalah musim yang istimewa. Jelas sekali ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum ini, perasaan yang luar biasa, kami tidak dapat melakukannya tanpa sokongan kakitangan atau peminat," tambahnya.

Cita-cita City untuk terus memenangi trofi, dan kekecewaan kehilangan Piala FA, turut disuarakan oleh pemain antarabangsa Portugal, Bernardo Silva.

"Sudah tentu malam tadi (kelmarin) mengecewakan tetapi kami perlu melupakannya dan meraikan empat kali berturut-turut juara EPL. Ia adalah musim yang sangat baik untuk kami," katanya.

Selepas memenangi treble tahun lalu, pasukan kendalian Pep Guardiola menambah Piala Super dan Piala Dunia Kelab pada musim ini bersama-sama dengan kejuaraan liga.

Pengurus Sepanyol itu, yang dinobatkan sebagai pengurus terbaik EPL, tersenyum untuk peminat dan teruja dengan sambutan itu walaupun dipersalahkan kerana pasukannya terlepas kejuaraan domestik kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 10:32 AM