MARTIN Odegaard. FOTO Agensi
MARTIN Odegaard. FOTO Agensi
Agensi

London: Martin Odegaard percaya kegagalan Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu akan menghantuinya seumur hidupnya.

Skuad kendalian Mikel Arteta mendahului sebahagian besar kempen dan nampaknya akan menamatkan penantian 19 tahun mereka untuk meraih kejuaraan liga.

Tetapi Arsenal goyah pada minggu-minggu terakhir apabila mereka hanya memenangi tiga daripada sembilan perlawanan terakhir, sekali gus membolehkan Manchester City memintas dan merangkul kejuaraan liga kali ketiga berturut-turut.

Odegaard masih belum memahami apa yang berlaku, dan mengakui sukar untuk menerima kegagalan pasukannya.

"Sukar, ada banyak perkara yang menjadi puncanya," kata Odegaard kepada Viaplay apabila diminta menjelaskan mengapa Arsenal kehilangan momentum di hujung musim.

"Kami bersaing dengan pasukan yang sudah memenangi kesemuanya, ia sangat sengit sehingga ke penghujung saingan, terutamanya dalam tiga perlawanan (yang Arsenal seri), kami kehilangan momentum.

"Terdapat banyak perkara yang menjejaskan musim kami. Kami hampir memenanginya.

"Saya rasa ia akan mengganggu sepanjang hidup saya. Kami sangat hampir dengan kejuaraan. Saya hampir berjaya mencapai impian saya.

"Ia pasti akan menghantui sepanjang hidup saya, tetapi kami perlu mencuba lagi tahun depan," katanya.

Odegaard yang juga kapten Arsenal, wajar dijadikan sebagai contoh apabila meledak 15 gol dan lapan bantuan jaringan pada aksi Liga Perdana untuk membawa pasukannya ke ambang kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 9:25 AM