KAPTEN JDT II, Nicolas Fernandez dikepung dua pemain SFC II. FOTO Johor Southern Tigers.
KAPTEN JDT II, Nicolas Fernandez dikepung dua pemain SFC II. FOTO Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) terlepas mengutip tiga mata selepas sekadar seri 0-0 dengan Selangor FC II (SFC II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Walaupun meraih satu mata untuk mengumpul 14 mata, skuad bimbingan Rafael Gil Sanchez kembali melonjak ke tangga kedua liga selepas berkelebihan jaringan berbanding Negeri Sembilan FC (NSFC) yang turut mengumpul mata sama.

Gerakan menarik Daniel Amir Norhisham yang melorongkan bola kepada Fernando Rodriguez pada minit kelima hampir menjelmakan jaringan selepas pemain import JDT II itu bijak mengelirukan pertahanan pelawat namun hilang imbangan ketika mahu melakukan rembatan ke gawang gol.

Skuad bimbingan Michael Feichtenbeiner juga tampak memberi tekanan terhadap benteng tuan rumah tatkala beberapa percubaan berbahaya menerusi Hein Htet Aung yang mengundang cemas penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Berbaki satu minit babak pertama berakhir, bola sepakan percuma kapten Nicolas Fernandez nyaris menghasilkan jaringan selepas bola terbias benteng pelawat namun sekadar sipi daripada gawang gol ketika penjaga gol, Sikh Izhan Nazrael Sikh Azman sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, tuan rumah bertali arus mengasak ke kubu pelawat dan peluang terbaik pada minit ke-52 hasil sepakan lintang Syazwan Andik Ishak gagal ditanduk kemas pemain gantian Stuart Wilkin yang tidak dikawal pemain SFC II.

Percubaan terakhir tuan rumah untuk merungkai jaringan hadir pada minit ke-89 namun bola rembatan deras Ahmad Hazwan Bakiri gagal menewaskan Sikh Izhan dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 11:39 PM