PEMAIN Selangor FC, Shahrul Nazeem Zulpakar (dua, kanan) meraikan kemenangan gol pada perlawanan bola sepak di antara Selangor FC dan Perak FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya hari ini. FOTO BERNAMA
PEMAIN Selangor FC, Shahrul Nazeem Zulpakar (dua, kanan) meraikan kemenangan gol pada perlawanan bola sepak di antara Selangor FC dan Perak FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya hari ini. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Selangor FC terus membuktikan mereka adalah Hero Malaya selepas menewaskan Perak FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe terus mengukuhkan tempat di kedudukan kedua Liga Super dengan 55 mata, lima mata di hadapan Kedah Darul Aman (KDA FC) yang akan turun berdepan Kelantan FC, malam esok.

Keputusan ini juga menyaksikan SFC melakar kemenangan berganda ke atas 'The Bos Gaurus' selepas turut menewaskan lawan sama 4-0 pada aksi pertama di Stadium Perak, Mei lalu.

Pada aksi terbabit, hanya tiga minit diperlukan untuk menggamatkan penyokong tuan rumah apabila sepakan sudut Yohandry Orozco disudahkan Sharul Nazeem Zulpakar untuk gol pembukaan Selangor FC.

Selangor FC beroleh peluang keemasan untuk melebarkan jurang pada minit ke-14 apabila melancarkan serangan balas pantas namun percubaan Alex Agyarkwa dalam situasi satu lawan satu gagal menewaskan T Shaheeswaran.

Perak FC perlahan-lahan mendapatkan rentak untuk mengancam kubu Selangor FC bagi mencari gol penyamaan dan peluang menerusi sepakan percuma Luciano Guaycochea pada minit ke-22 memaksa Sam Sommerville 'terbang' untuk menyelamatkan gawangnya.

Selepas beberapa kali dikecewakan Shaheeswaran, penjaga gol Perak FC itu akhirnya 'bocor' buat kali kedua menerusi penyudah Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-34.

Bersambung babak kedua, Selangor FC yang rancak untuk mendapatkan gol ketiga terpaksa menunggu sehingga minit ke-72 untuk menewaskan Shaheeswaran hasil rembatan deras Orozco pada minit ke-72.

Ayron del Valle yang beberapa kali terlepas peluang menjaringkan gol akhirnya mendapat gol yang didambakan pada minit ke-80 untuk meletakkan Selangor FC terus selesa 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 8:07 PM