PENJAGA gol Perak, T Shaheeswaran (kiri) menangkap kemas bola walaupun cuba diasak pemain Kedah pada perlawanan di Stadium Darul Aman, malam ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
PENJAGA gol Perak, T Shaheeswaran (kiri) menangkap kemas bola walaupun cuba diasak pemain Kedah pada perlawanan di Stadium Darul Aman, malam ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tersingkir dari saingan Piala Malaysia selepas tewas dengan agregat 3-4, meskipun menang ke atas Perak FC, 2-1 pada perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Darul Aman, malam ini.

Perak bertandang dengan kelebihan dua gol selepas menang 3-1 ke atas KDA FC pada aksi pertama di Stadium Perak, 3 Ogos lalu.

Pada aksi di depan lebih 9,000 penyokong sendiri, Perak FC terlebih dahulu memiliki peluang keemasan melalui penyerang importnya Seo Seonung pada minit ke-7 yang membuat rembatan rendah, namun ditepis penjaga gawang Kedah, Kalamullah Al-Hafiz.

Selang empat minit kemudian, penyokong Kedah menarik nafas lega apabila jaringan pemain import Perak FC, Luka Milunovic dibatalkan kerana ofsaid.

Kedah akhirnya berada di depan menerusi sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-27 dan kedudukan 1-0 itu kekal hingga babak pertama berakhir.

Memasuki babak kedua, Perak FC menerima tamparan hebat apabila pemain yang baru dibawa masuk, Khairul Asyraff Ramli dilayangkan kad kad merah pada minit ke-54 selepas mengasari Amirbek Juraboev.

Kedah menambah gol kedua melalui jaringan Akmal Zahir pada minit ke-82 selepas rembatannya terkena kaki pemain Perak dan terbias ke dalam gawang menjadikan kedudukan 2-0 atau 3-3 secara agregat.

Bagaimanapun, kegembiraan Kedah hanya seketika apabila Perak FC membalas jaringan pada minit ke-85 melalui tandukan Seo Seonung.

Kedudukan 2-1 itu kekal hingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan anak buah Yusri Che Lah melangkah ke suku akhir dengan agregat 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 11:24 PM