HABIB berpengalaman di Liga M.
HABIB berpengalaman di Liga M.
Izzali Ismail

Alor Setar: Desas-desus mengenai hala tuju pemain import Habib Haroon musim ini akhirnya terjawab apabila beliau sah menyertai skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Pengumuman kemasukan pemain yang beraksi bersama Terengganu FC (TFC) pada musim lalu itu dibuat media rasmi KDA FC sebentar tadi sekali gus menyaksikan Habib menjadi pemain import ketiga skuad kendalian Nafuzi Zain.

Dua pemain import yang sudah dimuktamadkan Sang Kenari sebelum ini ialah pemain sayap Sukhrob Nurulloev dari Uzbekistan dan Sony Norde dari Haiti.

"KDA FC dengan bangga mengumumkan ketibaan Habib Haroon, pemain berasal dari Bahrain yang cukup dikenali di Liga M ketika bersama Terengganu FC dan aksi beliau di Liga Malaysia musim lepas menarik perhatian pengurusan untuk diikat bergandingan dengan pemain berpengalaman lain.

"Pemain berusia 23 tahun ini memilih untuk berjuang di kem Sang Kenari musim 2024/25 sekali gus penyatuan semula dengan Nafuzi yang turut mengendalikan TFC sebelum ini.

"Khidmat Habib akan memperkuatkan bahagian tengah Sang Kenari dengan rangkaian pemain tempatan yang lain dan dengan kreativiti beliau di bahagian tengah, tidak hanya membuat umpanan berbahaya kepada rakan tetapi turut juga mampu menghasilkan gol dari sudut sukar," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 3:16 PM