Foto kenangan Anita (dua kiri) bersama arwah suami, Ismadi dan anak-anak.
Foto kenangan Anita (dua kiri) bersama arwah suami, Ismadi dan anak-anak.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya dan anak-anak masih lagi menangis sampai sekarang apabila kami terlalu rindu dan teringatkan arwah."

Begitulah luahan pelakon Anita Baharom, 39, terhadap kesedihannya selepas kematian suami tercinta, Ismadi Ismail, 50, pada 1 Januari lalu.

Anita berkata tempoh tiga bulan selepas pemergian arwah suaminya itu membuatkan dia serta anak-anak berada di dalam kerinduan dan masih perlu membiasakan diri.

"Baru-baru ini, anak saya Syifa menangis kerana teringat dan rindukan arwah 'daddy' apabila dia melihat kegembiraan rakan-rakannya bersama bapa masing-masing di sekolah.

"Dalam pada menenangkan dia, saya juga menangis kerana turut berasa rindu yang sama. Apatah lagi, selama ini arwah ada bersama kami," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Anita, dia dan anak-anaknya kini saling memberi semangat di antara satu sama lain untuk kuat menempuh dugaan hidup yang sudah ditetapkan Allah buat mereka.

Anita yang kini aktif semula dalam bidang lakonan berkata, dia bersyukur dimurahkan rezeki oleh Allah dengan menerima pelbagai tawaran berlakon dan sudah beberapa drama serta telefilem dibintanginya.

Anita dan Allahyarham Ismadi bertemu jodoh pada 2006 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 12:31 PM