ALONSO (tengah) berharap Leverkusen mampu bangkit untuk final Piala Jerman, Sabtu ini. FOTO REUTERS
ALONSO (tengah) berharap Leverkusen mampu bangkit untuk final Piala Jerman, Sabtu ini. FOTO REUTERS
Reuters

Dublin: Jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso berkata, pasukannya akan mengimbas kebanggaan mencipta rekod tanpa kalah di Eropah yang berakhir awal pagi tadi, dan menggunakan kesakitan akibat tewas di final Liga Europa untuk menghadapi satu lagi final, tiga hari lagi.

Leverkusen yang digelar 'Neverlusen' apabila menamatkan monopoli selama 11 tahun Bayern Munich di Bundesliga, masih berpeluang merangkul gelaran berganda domestik jika menewaskan kelab bahagian dua, Kaiserslautern di final Piala Jerman, Sabtu ini.

Kekalahan 0-3 di tangan Atalanta di Dublin, awal pagi tadi, menamatkan rekod 51 perlawanan tanpa kalah dicipta Leverkusen, yang hampir mencipta rekod tanpa kalah di semua kejohanan dalam semusim.

"Perkara idaman adalah tidak mahu tewas dalam perlawanan ke-52. Biasanya, kekalahan itu berlaku lebih awal dalam semusim. Apa yang kami capai memang luar biasa dan kami sangat bangga, tetapi sudah pasti kekalahan hari ini sangat menyakitkan," kata Alonso pada sidang media.

"Kami akan belajar dan terus belajar kerana kekalahan ini berlaku di final dan anda tidak mungkin melupakannya."

Selepas sekian lama digelar 'Neverkusen' kerana gagal menang gelaran utama selama beberapa dekad, Leverkusen hanya menang dua trofi utama dalam sejarah 119 tahun kelab itu.

Jadi, final awal pagi tadi memungkinkan mereka merangkul gelaran Eropah kedua selepas kejayaan Piala UEFA 1988, jadi gelaran Piala Jerman kedua tidak boleh dilepaskan pada Sabtu ini.

"Ia akan menguji bagaimana kami menangani keadaan kerana ada satu lagi perkara besar pada Sabtu ini," kata bekas pemain tengah Liverpool, Real Madrid dan Bayern Munich itu.

"Ia akan menjadi cabaran besar buat kami untuk bangkit daripada kekalahan hari ini dan menangani kesakitannya.

"Jadi, ayuh kita cuba dan membuat perubahan besar dalam fikiran untuk perlawanan akhir Sabtu ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 8:58 AM