ALCANTARA (kanan) dan Rodriguez terpaksa ketepikan akibat kecederaan.
ALCANTARA (kanan) dan Rodriguez terpaksa ketepikan akibat kecederaan.
AFP

JURULATIH Bayern Munich, Carlo Ancelotti mempunyai senarai panjang kecederaan untuk ditangani ketika skuad penuh bintangnya itu memulakan musim baru Bundesliga menentang Bayer Leverkusen, awal pagi Sabtu ini.

Di bawah kendalian Ancelotti, Bayern mendominasi liga Jerman musim lalu apabila mereka menjulang kejuaraan kelima berturut-turut.

Mereka berada di puncak carta hampir sepanjang musim kecuali tiga minggu, apabila RB Leipzig buat seketika mengatasi mereka November lalu, sebelum berakhir sebagai pemenang dengan jurang 15 mata Mei lalu.

Namun 90 hari sejak perlawanan terakhir liga, Ancelotti memiliki skuad berbeza, ramai daripadanya bergelut dengan kecergasan seperti dibuktikan dengan keputusan kebelakangan ini.

Mereka kalah lima daripada enam perlawanan pramusim sebelum memenangi Piala Super Jerman di Dortmund dua minggu lalu menerusi penentuan penalti.

Keputusan seperti kalah 0-2 kepada Napoli dan Inter Milan, tewas 0-3 di tangan Liverpool dan 0-4 kepada AC Milan mengejutkan ramai di Munich.

Keletihan menjadi faktor kekalahan kepada kelab Milan itu apabila Bayern beraksi empat perlawanan dalam tempoh 12 hari ketika jelajah di China dan Singapura bulan lalu.

Ancelotti kehilangan kapten juara Piala Dunia Jerman, Philipp Lahm dan tonggak tengah Xabi Alonso, kedua-duanya bersara manakala pemain sayap Brazil, Douglas Costa sudah dijual kepada Juventus.

Ancelotti juga tidak boleh menurunkan perancang utama Thiago Alcantara dan pemain baru James Rodriguez, yang dipinjamkan selama dua tahun dari Real Madrid, selepas mereka mengalami kecederaan ketika pramusim.

“Kami akan lihat pemain yang boleh diturunkan Jumaat ini (awal pagi Sabtu),” kata Ancelotti.

“Perlawanan pertama sering kali sukar tapi saya fikir kami bersedia untuk perlawanan itu dan saya harap kami mempamerkan aksi yang bagus,” ujar Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 10:00 AM