TOMISLAV Steinbruckner hampa selepas gagal mengutip mata penuh. FOTO GHAZALI KORI
TOMISLAV Steinbruckner hampa selepas gagal mengutip mata penuh. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akui prestasi buruk yang diperagakan anak buahnya pada babak pertama ketika berdepan Kuching City FC (KCFC) menyaksikan impian untuk mengutip mata penuh berkecai.

Tambah Steinbruckner, beberapa pemainnya yang demam sebelum perlawanan sehingga terpaksa menerima suntikan juga antara faktor anak buahnya beraksi longlai dan hampir 'berputih mata'.

Terdahulu skuad Penyu terpaksa pulang dengan satu mata selepas gagal mempertahankan gol pembukaan jaringan Safawi Rasid ketika seri 1-1 berdepan skuad The Cats itu dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, pada Sabtu.

"Prestasi agak buruk dipamerkan pemain terutama pada separuh masa pertama menyaksikan impian kami untuk membawa pulang tiga mata berakhir dengan kehampaan.

"Beberapa kesilapan yang dilakukan pemain terutama hantaran jauh dan lintang yang tidak berkualiti hampir membawa padah dengan pasukan tuan rumah mendominasi hantaran jauh selain beberapa peluang yang diperolehi untuk menjaringkan gol.

"Namun saya perlu terima kenyataan dengan corak permainan sebegitu terutama beberapa pemain kami demam sehingga menerima suntikan," ujar jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan ketiadaan dua pemain import, Ivan Mamut dan Mathew Steenvoorden begitu dirasai pasukan selepas lima perlawanan.

"Dua pemain itu (Mamut dan Steenvoorden) masih lagi belum pulih daripada kecederaan yang dialaminya, jadi kami kini bermain dengan empat pemain import berbanding Kuching City enam import.

"Bagaimanapun apa yang menggembirakan, kami belum lagi tewas dalam saingan Liga Super dan juga Piala FA, kami harapkan rekod ini dapat dipertahankan," ujar jurulatih kelahiran Croatia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 4:28 PM