TOMISLAV Steinbruckner (tengah) semasa menjalani sesi latihan pertama bersama pemain di Pusat Latihan TFC, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
TOMISLAV Steinbruckner (tengah) semasa menjalani sesi latihan pertama bersama pemain di Pusat Latihan TFC, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menjelaskan beliau begitu gembira selepas mempunyai barisan pemain idamannya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Jelas pengendali kelahiran Croatia yang lebih mesra dipanggil 'Tommy', kehadiran semula bekas anak didiknya, Safawi Rasid ke pangkuannya begitu menggembirakan ditambah kehadiran rakan sepasukannya, Akhyar Rashid.

Tambah bekas pemain tengah kelab Singapore Armed Forces Football Club (SAFFC) musim 1999 itu, kehadiran bekas penyerang Kelantan United FC (KUFC) musim lalu, Ismaheel Akinade selain bek kelahiran Belanda, Matthew Steenvoorden dan bekas pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Akram Mahinan bakal menambah lagi kekuatan pasukannya.

Bagaimanapun jelas Tommy, beliau mengharapkan semua pemain baharu serta sedia ada dapat meningkatkan lagi prestasi masing-masing bagi memastikan impian untuk sekurang-kurangnya merangkul satu trofi kejuaraan pada musim 2024/2025 berhasil.

"Persediaan awal penting buat pasukan dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) yang pasti lebih mencabar lagi pada musim ini ditambah dengan perubahan jadual perlawanan sehingga tahun 2025.

"Namun apa yang menggembirakan saya dapat kembali bekerjasama dengan Safawi yang juga bekas anak didik saya ketika menjadi ketua jurulatih pasukan T-Team pada 2015, saya tahu kualiti yang ada padanya.

"Juga menggembirakan saya kehadiran seorang lagi bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kebangsaan, Akhyar selain tiga lagi muka baharu iaitu Akram, Akinade dan Steenvoorden, maknanya kami mempunyai skuad idaman yang lengkap di setiap posisi gabungan pemain muda dan berpengalaman.

"Namun saya tegaskan mereka perlu buktikan kemampuan sebenar di padang, lagipun sudah pasti mereka mahukan minit permainan yang lebih bagi meningkatkan lagi mutu permainan," ujar Tommy ketika ditemui pada sesi latihan pertama di Pusat Latihan TFC, Gong Badak, petang semalam.

Pada sesi latihan yang disaksikan hampir 500 peminat setia skuad Penyu itu, semua pemain hadir termasuk Akinade, Steenvoorden, Akram, Akhyar dan Safawi, kecuali tiga pemain import sedia ada iaitu Argzim Redzovic, Nurillo Tukhtasinov dan Ivan Mamut yang masih belum bersama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 2:57 PM