EMPAT set sistem VAR sudah berada di Wisma FAM dan bakal diuji pegawai Fifa pada April depan. FOTO FB FAM
EMPAT set sistem VAR sudah berada di Wisma FAM dan bakal diuji pegawai Fifa pada April depan. FOTO FB FAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) akan hadir melakukan pemeriksaan pada perlawanan ujian sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Malaysia (Liga M), April depan.

Menurut kenyataan MFL, pegawai Fifa sepatutnya hadir pada Februari ini, namun terpaksa ditunda ke tarikh baharu iaitu pada 16 hingga 21 April depan.

Secara tidak langsung, jadual perlawanan Liga M bagi musim 2024/2025 turut terpaksa dianjakkan seminggu lagi bagi tujuan MFL mengadakan siri perlawanan sistem VAR.

"Siri perlawanan ujian VAR membabitkan kelab Liga M yang bakal diadakan pada 22 April hingga 5 Mei 2024 itu hanya boleh dilakukan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapat kelulusan daripada Fifa.

"Seperti pengumuman MFL sebelum ini, sistem VAR yang bakal digunakan dalam Liga M tahun ini berkonsepkan mobil VAR dan siri perlawanan ujian itu penting untuk MFL menguji kestabilan, kekukuhan dan ketahanan sistem VAR dalam perlawanan kompetitif yang disiarkan secara langsung.

"Malah perlawanan ujian itu penting untuk MFL menguji pergerakan mobil VAR ke venue, pengurusan penyiaran, pemahaman pegawai dan pasukan serta tahap kesediaan kemudahan venue terlibat," kata MFL menerusi kenyataan itu.

Menurut MFL, berikutan perubahan tarikh pemeriksaan Fifa itu, MFL terpaksa melewatkan tarikh sepak mula Liga M seminggu berbanding tarikh asal iaitu 3-5 Mei ke 10-12 Mei 2024.

Katanya, MFL kini dalam perbincangan bersama kelab terbabit dengan siri perlawanan itu dan maklumat lanjut mengenai perancangan ini akan diumumkan sebaik sahaja butiran telah dimuktamadkan.

Empat set sistem VAR sudah berada di Wisma FAM dengan teknologi itu sedang digunakan untuk latihan pengadil sebagai persediaan saingan Liga M musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 7:25 PM