SAINGAN Liga M dan Piala Malaysia musim depan bakal menyaksikan penggunaan VAR.
SAINGAN Liga M dan Piala Malaysia musim depan bakal menyaksikan penggunaan VAR.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelaksanaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dipersetujui kelab Liga Malaysia (Liga M) namun pembayaran untuk memastikan teknologi terbabit dapat digunakan kelak perlu membabitkan semua pihak bagi memastikan pasukan tidak dibebani dengan masalah kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC (KL City) Stanley Bernard menjelaskan tidak adil jika pasukan Liga M saja perlu menanggung keseluruhan kos penggunaan VAR yang mencecah hingga RM5 juta.

Beliau berkata, perbincangan lanjut perlu diadakan membabitkan tiga pihak iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pengurusan kelab bagi memastikan teknologi itu dapat direalisasikan dalam perlawanan kompetitif.

"Secara peribadi sememangnya saya setuju VAR digunakan pada saingan Liga M bagi meningkatkan lagi kualiti pengadilan dan membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat.

"Cuma jika diletakkan bebanan pembayaran kos penggunaan VAR kepada pasukan mungkin akan mendatangkan masalah kerana perbelanjaannya cukup tinggi.

"Mungkin boleh berkongsi kos VAR iaitu sebagai contoh pasukan menyediakan bilik dan kemudahan di venue manakala pihak lain menanggung perbelanjaan untuk memasang teknologi itu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya tidak boleh memberi penjelasan secara terperinci berkaitan penggunaan VAR memandangkan tiada perbincangan lanjut berkaitan teknologi itu.

"VAR ini perlu diadakan perbincangan secara teliti sama ada pelaksanaannya banyak memberi manfaat atau sebaliknya. Hal ini kerana, kita perlu menguruskan kewangan sekali gus memerlukan perbincangan bersama pihak berkaitan sebelum teknologi itu digunakan," katanya.

FAM sebelum ini mengesahkan akan menggunakan VAR untuk saingan Piala FA dan Piala Malaysia mulai musim depan sebagai antara jalan penyelesaian untuk menyelesaikan isu membabitkan mutu pengadilan Liga M.

Keputusan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam itu dianggap bersejarah apabila buat kali pertama saingan Liga M akan menggunakan VAR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 7:44 PM