PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Keenam, hari ini. FOTO FB FAM
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Keenam, hari ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kontroversi selalu membelenggu Liga Malaysia (Liga M) membabitkan mutu pengadilan bakal berakhir apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mulai musim depan.

Keputusan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam itu dianggap bersejarah apabila buat pertama kalinya saingan Liga M akan menggunakan VAR.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan, badan induk itu dalam proses penelitian dan perbincangan dengan dua kejohanan kalah mati iaitu Piala FA dan Piala Malaysia akan menggunakan sistem itu.

"EXCO bersetuju untuk mengadakan penggunaan VAR dalam Piala FA dan Piala Malaysia, bukan dalam aksi Liga Super. Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, ia (penggunaan VAR) bergantung pada Jawatankuasa Teknikal untuk melihat sama ada dapat mencapai sasaran untuk digunakan pada 2023," katanya pada sidang media di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram mengakui pihaknya akan menghantar pengadil tempatan ke luar negara bagi menimba ilmu dan menjalani kursus penggunaan VAR.

"Kita perlu mengkaji dengan lebih mendalam. Mungkin ia akan digunakan bermula pada peringkat suku akhir dan seterusnya, atau mungkin daripada peringkat kumpulan.

"Kita perlu adakan mesyuarat dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai badan pengendali liga tetapi kita memang menuju ke arah itu (penggunaan VAR).

"Pengadil kita pun akan menjalani kursus VAR selama enam hingga sembilan bulan. Kita berhubung dengan Fifa dan AFC bagi mendapatkan tenaga pengajar," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan FAM sudah mengadakan perbincangan dengan dua syarikat penyedia VAR iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro bagi melihat potensi untuk diadakan dalam Liga M.

Untuk rekod, kos memasang VAR di satu stadium dilaporkan boleh mencecah AS$150,000 (RM627,000), dengan nilai sekitar RM7.5 juta untuk 12 stadium dalam saingan Liga Super sahaja, tidak termasuk untuk pasukan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 3:18 PM