SKUAD Maloney bakal berdepan beberapa aksi persahabatan.
SKUAD Maloney bakal berdepan beberapa aksi persahabatan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ternyata sibuk berbanding pasukan 'abangnya' apabila mereka dijadualkan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan sebelum berdepan cabaran pada Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) B-23 di Kemboja, Februari depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, skuad kendalian Brad Maloney itu akan diberi peluang menggantikan pasukan senior dalam perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini.

Beliau berkata, skuad senior tidak akan berdepan perlawanan persahabatan berikutan kekangan membabitkan ketiadaan jurulatih selain perlu bersama kelab masing-masing untuk persediaan mengharungi Liga Malaysia yang akan membuka tirai hujung Februari depan.

"Sebenarnya, kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) seperti diumumkan Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell tiada perlawanan persahabatan kerana ada kekangan dari segi jurulatih dan untuk memanggil pemain itu kerana mereka sibuk dengan kelab masing-masing.

"Apa yang kita buat sekarang ini adalah pasukan B-23 akan menggunakan kalendar Fifa ini dengan mereka 80 peratus adalah pemain utama untuk kelab," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Piala Presiden dan Piala Belia 2022, di sini, hari ini.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya disahkan tidak akan mengharungi aksi antarabangsa dalam kalendar Fifa pada 24 Januari sehingga 1 Februari ini.

Situasi berbeza buat skuad B-23 apabila tahun ini cukup sibuk selain mengharungi perlawanan persahabatan, mereka juga akan menyertai Kejuaraan B-23 AFF pada Februari depan.

Pasukan terbabit turut akan beraksi di Sukan Sea Vietnam pada Mei sebelum mengharungi perlawanan pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 yang akan berlangsung pada 1 hingga 19 Jun depan di Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 6:21 PM