GUIMARAES membeli rumah bernilai RM23.66 juta di Newcaslte. -FOTO AFP
GUIMARAES membeli rumah bernilai RM23.66 juta di Newcaslte. -FOTO AFP
Agensi

London: Bruno Guimaraes memberi gambaran bahawa dia akan kekal di Newcastle selepas musim panas ini apabila membeli rumah bernilai £4 juta (RM23.66 juta) di sana.

Pemain tengah Brazil, 26, banyak dikaitkan dengan perpindahan besar pada akhir musim ini apabila Arsenal, Manchester United, Manchester City dan Paris Saint-Germain berminat mendapatkan khidmatnya.

Dia mempunyai klausa pelepasan £100m (RM591.72 juta) namun tiada petunjuk bahawa ada pihak yang sanggup membayar jumlah itu.

Menurut laporan The Telegraph terdapat "keyakinan yang semakin meningkat" bahawa dia akan kekal di St James Park untuk kempen 2024/25.

Dan perkara turut disokong oleh berita bahawa Guimaraes sudapun membeli rumah baharu di Dewan Daras, kejiranan eksklusif di Northumberland.

Difahamkan, dia akan menjadikan kediaman ini sebagai rumah keluarganya untuk isteri dan dua anaknya.

Newcastle dilaporkan akan menolak sebarang bidaan di bawah £100m, pendekatan yang juga akan mereka ambil apabila membabitkan tawaran terhadap penyerang Alexander Isak.

Guimaraes menyertai pasukan Eddie Howe dari Lyon dengan harga £35 juta (RM207.09 juta) pada Januari 2022.

Dia beraksi 101 perlawanan untuk Newcastle, menjaringkan 14 gol dan membantu 14 gol.

Dia diturunkan dalam kesebelasan utama dalam semua perlawanan kecuali satu perlawanan Liga Perdana yang dia terlepas musim ini adalah pada bulan November kerana digantung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 9:47 AM