XHAKA (tengah) tak dapat menerima kekalahan pasukannya kepada Newcastle. -FOTO EPA
XHAKA (tengah) tak dapat menerima kekalahan pasukannya kepada Newcastle. -FOTO EPA
Agensi

Newcastle: Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka memberi teguran kepada rakan sepasukannya bahawa mereka tidak layak berada di atas padang dan menyifatkan kekalahan kepada Newcastle United awal pagi tadi adalah satu malapetaka.

Arsenal yang memburu tempat dalam Liga Juara-Juara itu ketinggalan dua mata di belakang Tottenham Hotspur yang berada di tangga keempat dengan 68 mata, tetapi tidak beraksi dengan baik ketika kekalahan 2-0 di St James Park.

Newcastle mendominasi perlawanan dan menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua menerusi gol sendiri Ben White dan kemudiannya disusuli rembatan Bruno Guimaraes akibat kealpaan pertahanan Arsenal.

Xhaka tidak menyembunyikan apa yang difikirkan tentang prestasi pasukannya dan mengharapkan keajaiban pada hari terakhir perlawanan bagi mengelak enam musim berturut-turut tidak dapat menyertai saingan elit Eropah itu.

"Sukar untuk mencari perkataan yang betul. Dari minit pertama hingga ke-90 kami tidak layak berada di atas padang," kata pemain Switzerland itu.

"Saya tidak dapat menjelaskan kepada anda mengapa. Kami tidak bermain mengikut perancangan jurulatih. Apa yang berlaku adalah persembahan yang teruk.

"Anda tidak layak bermain Liga Juara-Juara atau Liga Europa. Sangat sukar untuk mengambil bahagian ketika ini.

"Saya tidak tahu mengapa kami tidak melakukan apa yang diminta oleh jurulatih," katanya.

Pemain berusia 29 tahun itu mengalami masa sukarnya di Arsenal selepas dilucutkan jawatan sebagai kapten pada 2019.

Dia menafikan kekurangan pengalaman dalam skuad Mikel Arteta ketika ini adalah masalah.

"Jika ada yang tidak bersedia untuk bermain, tinggal sahaja di rumah. Tidak kira umur anda. Jika anda gugup, duduk di bangku simpanan atau duduk di rumah.

"Anda memerlukan orang ramai untuk datang ke sini dan bermain. Ia adalah salah satu permainan yang penting bagi kami. Kami berasa sangat kecewa dengan orang yang datang ke sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 9:24 AM