TRIPPIER (kanan) antara pemain baharu yang dibeli Newcastle. FOTO AFP
TRIPPIER (kanan) antara pemain baharu yang dibeli Newcastle. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Newcastle, Eddie Howe berkata mereka akan terus aktif pada jendela perpindahan bulan ini dengan pemain tengah Brazil, Bruno Guimaraes dilaporkan bakal menyertai kelab itu dari Lyon.

Tiga bulan selepas diambil alih dana kekayaan kerajaan Saudi, Magpies mula melakukan pelaburan untuk mengelak daripada tersingkir dari Liga Perdana.

Newcastle hanya menang dua perlawanan sepanjang musim ini dan berada di zon penyingkiran.

Bagaimanapun skuad bimbingan Howe memperoleh suntikan semangat bulan ini dengan ketibaan pemain antarabangsa England, Kieran Trippier dan penyerang, Chris Wood dari Burnley.

Guimaraes akan menjadi bintang seterusnya beraksi di St. James Park dengan nilai perpindahan sekitar £40 juta (RM224.5 juta) untuk mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu yang kini menggalas tugas bersama skuad kebangsaan Brazil.

"Kami berharap dapat menyelesaikan urusan perpindahan ini.

"Anda boleh meneka siapa pemain itu tetapi tiada pengesahan daripada saya," kata Howe pada sidang media.

Bekas pengurus Bournemouth itu juga menjangkakan lebih banyak urusan pembelian pemain akan berlaku pada hari terakhir jendela perpindahan Isnin ini.

"Daripada perspektif saya, saya tidak fikir ia adalah penamat kepada minat kami untuk mendapatkan pemain baharu.

"Kami sedang bekerja keras untuk memperkuatkan pasukan. Sasaran utama kami adalah untuk kekal di Liga Perdana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 7:26 AM