CASEMIRO (tengah) menjaringkan gol kemenangan Brazil. FOTO AP
CASEMIRO (tengah) menjaringkan gol kemenangan Brazil. FOTO AP
AFP

Doha: Pemain tengah Brazil, Bruno Guimaraes mengakui mereka yang juga pasukan pilihan Piala Dunia tidak mempunyai semangat seperti biasa selepas memerlukan gol lewat Casemiro untuk menewaskan Switzerland dan mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.

Juara Piala Dunia lima kali itu sedar bahawa kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan G bakal menempah slot buat mereka ke pusingan kalah mati dengan berbaki satu lagi perlawanan.

Mereka kelihatan seperti bakal menamatkan perlawanan pagi tadi dengan keputusan seri sehinggalah pemain Manchester United, Casemiro yang tidak menyangka dapat menjaringkan gol, merembat masuk tujuh minit sebelum perlawanan tamat bagi memberikan kemenangan 1-0.

"Ia memang perlawanan yang sangat sukar dan keputusan 0-0 saya rasa sudah cukup untuk membuatkan mereka berpuas hati namun perkara paling penting ialah kami berjaya melayakkan diri," kata pemain Newcastle, Guimaraes, yang masuk sebagai pemain gantian di separuh masa kedua.

Dia menggantikan Fred, yang berada dalam kesebelasan utama selepas ketiadaan Neymar, selepas penyerang itu cedera di bahagian buku lali ketika Brazil menang 2-0 pada aksi pembukaan dengan Serbia.

"Neymar adalah seorang pemain, bintang sebenar. Pasukan mana yang tidak akan merinduinya?" kata Guimaraes.

Walaupun ketiadaan Neymar, penjaring gol kemenangan, Casemiro percaya Brazil adalah pasukan yang lebih lengkap sekarang berbanding empat tahun lalu, apabila mereka tersingkir daripada Piala Dunia di Rusia pada suku akhir.

"Empat tahun berlalu dan ada pemain baharu," kata bekas bintang Real Madrid itu, yang masih berada dalam skuad ketika seri dengan Switzerland pada peringkat kumpulan 2018.

Skuad kendalian Tite masih belum bolos di Qatar, selepas melepaskan hanya lima gol dalam 17 perlawanan di kelayakan Amerika Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 10:30 AM