PERLIS United FC berpotensi menjadi pasukan yang mengisi slot ke-14 Liga Super 2024-2025 musim ini. FOTO IHSAN PUFC
PERLIS United FC berpotensi menjadi pasukan yang mengisi slot ke-14 Liga Super 2024-2025 musim ini. FOTO IHSAN PUFC
Aizat Sharif


Kangar: Pengurusan Perlis United FC (PUFC) mengakui bahawa ada penaja yang sudah menarik diri dari mahu menaja kelab berkenaan namun masih ada penaja yang kini berada pada fasa terakhir perbincangan penajaan terhadap kelab berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply berkata, perjanjian penajaan yang dijanjikan oleh sebilangan penaja tempoh hari bukanlah satu omong kosong kerana ia turut membabitkan penerimaan surat hasrat atau letter of intent (LOI) daripada pihak penaja.

"Ada yang sudah tarik diri dan ada yang masih di peringkat terakhir perbincangan perjanjian. Omongan kosong (penajaan) dari pihak mana, jika di pihak kami, ia tiada kerana kami ada menerima LOI sebelum ini dari penaja.

"Malah, jumlah yang dinyatakan pun dari pihak penaja bukan dari kami dan yang lain-lain masih belum dapat beri komen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu jawapan balasnya terhadap pertanyaan daripada seorang penyokong bola sepak negeri itu yang bertanyakan mengenai perkembangan penajaan PUFC menerusi laman Facebooknya hari ini.

Katanya, buat masa ini, pihaknya masih tetap fokus berhubung penajaan untuk beraksi di Liga Super musim ini disebabkan masih mempunyai tempoh masa yang diberikan pihak MFL.

"Buat masa sekarang kami tengah fokus untuk tajaan Liga Super sebab masih ada masa yang diberikan.

"Pelan B kita pula adalah bermain untuk Liga M3 semula manakala pelan C pula adalah tidak menyertai mana-mana liga," katanya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, ramai pihak yang bertanya kepadanya berhubung kelebihan yang diterima oleh penaja yang berjaya menaja PUFC dan salah satunya adalah membabitkan pengecualian cukai dari nilai yang disalurkan.

"Selain itu, (PUFC) mempunyai 'fan base' yang ramai 'so very good investment', penjenamaan atau 'branding' melalui papan 'LED A Board/Sign Board' sekitar stadium yang turut merangkumi 'live tv' yang akan ditonton seluruh negara dimana jenama (brand) penaja akan terpampang pada jersi pasukan.

"Dalam masa yang sama juga, pelbagai program dan acara (event) akan disusun (PUFC) buat syarikat penaja, penyediaan bilik khas VVIP setiap perlawanan bagi penaja utama, pas perlawanan bagi penaja yang lain dan banyak lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 5:00 PM