AZMIR (tujuh dari kanan) selepas membuat perjumpaan dengan pemain dan pegawai Perlis United FC. FOTO PERLIS UNITED FC
AZMIR (tujuh dari kanan) selepas membuat perjumpaan dengan pemain dan pegawai Perlis United FC. FOTO PERLIS UNITED FC
Aizat Sharif


Kangar: Kerajaan negeri tidak akan membiarkan kelab Liga M3, Perlis United FC (PUFC) terkubur berikutan isu tunggakan gaji kakitangan dan pemain bagi Ogos, sekali gus menghabiskan baki saingan liga musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, pihaknya komited untuk mencari jalan penyelesaian dan memastikan tunggakan gaji itu dapat dilunaskan seiring dengan perjalanan kelab berpangkalan di Kangar itu sebelum musim Liga M3 tamat.

"Pada masa sama, kami (kerajaan negeri) akan berusaha membantu mencari jalan bagi melunaskan bayaran gaji pemain bagi September dan Oktober sebelum musim ini berakhir.

"Malah, pembabitan pihak swasta sangat penting dalam membantu mengatasi permasalahan itu, namun PUFC harus membina keyakinan dalam menampilkan potensi kelab itu kepada semua.

"Kami mahu PUFC menampilkan potensi kelab itu untuk berada pada kedudukan lima teratas dalam saingan liga," katanya ketika ditemui selepas bertemu pemain PUFC di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini semalam.

Katanya, dengan prestasi meyakinkan, sudah tentu ia dapat menarik penajaan khususnya dari pihak swasta.

Selain itu, Muhammad Azmir sedang mencari penyelesaian berhubung lokasi perlawanan yang sesuai bagi PUFC menghadapi baki saingan Liga M3 musim ini.

Katanya, ia berikutan kelab itu dilihat terpaksa 'merempat' ke pelbagai tempat termasuk ke Kedah untuk bermain bola sepak.

"Kami lihat, selain tunggakan gaji, kelab ini turut berdepan masalah 'venue' yang sering berubah disebabkan kerenah birokrasi pihak tertentu.

"InsyaAllah, kami akan berbincang dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung isu 'venue' yang dibangkitkan PUFC kerana mahu mencari penyelesaian terbaik bagi menghabiskan baki perlawanan musim ini.

"Ia berikutan kerja menaik taraf dan baik pulih fasiliti Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar hanya dijangka selesai pada April tahun hadapan," katanya.

PUFC kini menduduki tempat ketujud daripada 13 pasukan dalam saingan Liga M3 musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 7:09 PM