SEBAHAGIAN daripada bekas pemain kebangsaan dan Selangor yang menyertai Majlis Pelancaran Akademi X-Selangor, di Stadium Mini, Seksyen 13, di sini, hari ini. FOTO SYAZWAN MSAR
SEBAHAGIAN daripada bekas pemain kebangsaan dan Selangor yang menyertai Majlis Pelancaran Akademi X-Selangor, di Stadium Mini, Seksyen 13, di sini, hari ini. FOTO SYAZWAN MSAR
Syazwan Msar


Shah Alam: Perlis United FC (PUFC) perlu buktikan dahulu RM25 juta sememangnya ada dalam akaun pasukannya dan bukannya hanya sekadar memberikan surat atau dokumen berkaitan jumlah penajaan terbabit.

Bekas pemain Perlis Mohd Nizaruddin Yusof berkata, beliau tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila wang tajaan yang dicanang itu sebenarnya tiada sekali gus menyebabkan pasukan berdepan masalah kewangan.

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan turut mengakui bahawa pemilihan PUFC untuk dinaikkan pangkat ke Liga Super adalah bertepatan berdasarkan populariti dan jumlah penyokong yang dimiliki pasukan terbabit.

Namun, beliau mengingatkan bahawa jika PUFC dipalit masalah kewangan bakal menyebabkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut diheret atau menjadi bahan cemuhan penyokong bola sepak tempatan kelak.

"Saya tak nampak RM25 juta kerana tulis semua orang boleh tulis...pernah jadi dekat Perlis sebelum ini dan saya beraksi bersama pasukan itu.

"Perlis adalah pasukan yang sesuai untuk dinaikkan ke Liga Super kerana tanpa kehadiran kelab itu menyebabkan suasana bola sepak tempatan agak suram.

"Pihak berkaitan kena pastikan ada RM25 juta itu dan bukannya hanya melalui surat atau cakap saja," katanya, ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Akademi X-Selangor, di Stadium Mini, Seksyen 13, di sini, hari ini.

Pada majlis itu menyaksikan lebih 130 peserta berusia tujuh hingga 17 tahun menyertai sesi perkenalan akademi berkenaan yang dikendalikan rata-rata bekas pemain Selangor dan Kebangsaan.

Sebelum ini, MFL menjelaskan bahawa PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja.

MFL menerusi kenyataan memberitahu bahawa pasukan itu diarah untuk memenuhi syarat tambahan sebelum mendapat lesen luar biasa bersyarat bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super musim ini.

Sebagai rekod, setiap permohonan perlu melengkapkan kriteria dan sub-kriteria iaitu infrastruktur, kakitangan dan pentadbiran, sukan, perundangan, kewangan serta perniagaan seperti dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Selain Perlis, tiga lagi pasukan iaitu Imigresen FC, KL Rovers dan Harini turut mengemukakan permohonan bagi lesen luar biasa itu namun PUFC dilihat berpotensi untuk dinaikkan pangkat ke Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 9:19 PM