PERLIS United dijangka bersaing di Liga Super musim ini. AIZAT SHARIF
PERLIS United dijangka bersaing di Liga Super musim ini. AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Perlis United FC (PUFC) dijangka akan membawa panji negeri Perlis bagi saingan Liga Super musim ini selepas dikatakan mendapat tawaran untuk mengisi slot negeri ke liga berprestij itu.

Difahamkan kelab bola sepak yang berpangkalan di Kangar itu mendapat jemputan daripada pengendali Liga Malaysia iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyertai liga itu sebagai wakil dari negeri Perlis selain dikatakan mendapat tajaan yang lumayan daripada beberapa syarikat terkenal untuk saingan liga berkenaan.

Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Negeri Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, disebabkan perkara itu, pihaknya menyokong usaha PUFC dari pelbagai sudut sekiranya kelab itu berkemampuan untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti Liga Super.

"Saya difahamkan pada waktu ini memang ada tawaran serta terdapat permohonan daripada PUFC untuk ke Liga Super musim ini malah ia turut diperkuatkan dengan suntikan tajaan daripada beberapa syarikat yang agak besar dimana penajaan ini membolehkan mereka dapat mengharungi saingan Liga Super kali ini.

"Dalam hal ini, kita sebagai kerajaan negeri menyokong andaikata usaha PUFC ini dapat bersaing ke liga berkenaan terutama menerusi penggunaan kemudahan untuk menjalani latihan dan perlawanan sebagai tuan rumah di stadium di negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini semalam.

Katanya, pihaknya mewakili Menteri Besar Perlis melahirkan setinggi penghargaan kepada PUFC atas kemampuan yang ditampilkan itu.

"Kemampuan ini menunjukkan bahawa PUFC mampu berdiri di atas kaki sendiri dalam membuktikan mereka juga mampu bersaing di peringkat atasan.

"Oleh itu, kita menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) tiada masalah untuk berbincang dengan lebih lanjut dengan PUFC terutama dari segi penggunaan fasiliti sukan seperti stadium untuk tujuan latihan dan perlawanan sebenar

"Perlis sudah lama ketandusan perasaan atau 'feeling' bola sepak di Perlis dan kita mengharapkan agar pasukan berjuang sehabis baik untuk membawa nama negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 12:34 PM