FANDI Ahmad ketika sesi latihan. FOTO SRI PAHANG FC
FANDI Ahmad ketika sesi latihan. FOTO SRI PAHANG FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memuji komitmen tinggi yang dipersembahkan anak buahnya sepanjang sesi latihan setakat ini.

Bekas legenda bola sepak Singapura itu berkata, selepas dua minggu, semua pemain Tok Gajah begitu bersemangat untuk memberikan yang terbaik.

"Saya mengharapkan semua pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025. Pencapaian lebih baik dapat dipersembahkan berbanding musim lalu," kata jurulatih berusia 62 tahun itu.

Ditanya sesi latihan sepanjang Ramadan, Fandi berkata, skuad itu akan menjalani latihan pada waktu petang.

"Fokus utama pasukan bukan sahaja kecergasan tetapi membentuk persefahaman," katanya.

Musim baharu ini, Sri Pahang menampilkan lapan pemain baharu, termasuk dua import iaitu Manuel Hidalgo dari Argentina dan Mykola Ahapov (Ukraine).

Manakala, enam pemain tempatan baharu yang menyertai skuad Tok gajah ialah Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, Hasnul Zaim, T Saravanan dan penjaga gol, Azfar Arif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 4:42 PM