AHAPOV menandatangani kontrak satu tahun bersama skuad Tok Gajah. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
AHAPOV menandatangani kontrak satu tahun bersama skuad Tok Gajah. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Penyerang dari Ukraine, Mykola Ahapov diumumkan pemain import baharu Sri Pahang FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pengumuman itu menerusi Facebook rasmi Sri Pahang FC hari ini, sekali gus menamatkan teka-teki penyerang import baharu yang mengesahkan bersama skuad Tok Gajah musim baharu ini.

"Selamat datang Mykola Ahapov. Memperkenalkan pemain kelahiran Ukraine, Mykola Ahapov sebagai taruhan terbaharu barisan depan Sri Pahang.

"Pemain berusia 30 tahun ini menandatangani kontrak satu tahun bersama skuad Tok Gajah," menerusi hantaran itu.

Berdasarkan rekod, Ahapov bermain bersama kelab Kazakhstan, FC Akzhayik musim lalu.

Pengalaman yang dimiliki pemain Ukraine itu diyakini dapat memberikan kekuatan dan ketajaman di bahagian serangan.

Ini kerana musim lalu, skuad Tok Gajah terlalu bergantung Kpah Sherman selaku penyerang tunggal dan musim baharu ini mengharapkan gandingan mantap dua penyerang berkenaan.

Sementara itu, lima pemain tempatan baharu diumumkan dalam skuad kendalian Fandi Ahmad itu setakat ini, Mereka adalah Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, Hasnul Zaim dan penjaga gol, Azfar Arif.

Kemasukan pemain baharu itu diyakini membentuk skuad yang mantap terutama di bahagian serangan dan pertahanan.

Bagi skuad Tok Gajah yang bergantung kepada penyerang tunggal, Kpah Sherman musim lalu sudah pasti mengharapkan gandingan mantap bersama Ahapov.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 5:51 PM