KETUA Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam, -FOTO NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam, -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendedahkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024/2025 bukanlah murah atau harga 'rahmah' saja apabila kos keseluruhan operasi kemungkinan mencecah RM50 juta.

Kos berkenaan selepas mengambil kira pengagihan hak penyiaran kepada setiap pasukan yang menyertai Liga M selain turut membabitkan beberapa perbelanjaan lain merangkumi logistik dan pengurusan.

Malah, ia juga boleh dikatakan sedikit bertambah berikutan MFL akan mula menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada setiap perlawanan Liga Super kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa kos keseluruhan operasi itu tidaklah jauh berbeza berbanding musim lalu namun mengakui terdapat peningkatan menyebabkan pihaknya perlu mencari lebih banyak dana bagi menampung perbelanjaan tambahan itu.

"Jika dilihat secara keseluruhan kos operasi termasuk dengan pengagihan hak penyiaran dalam tempoh setahun mencecah RM50 juta.

"Tahun ini boleh dikatakan agak tinggi berbanding musim lalu kerana kita mula menggunakan VAR dan itu juga mencecah jutaan ringgit," katanya.

Berdasarkan rekod, kos operasi liga pada musim ini kemungkinan meningkat berikutan selepas VAR dijangka dilaksanakan sepenuhnya menelan kos RM9.7 juta.

Stuart menjelaskan jumlah terbabit merangkumi kos penyediaan bagi tahun pertama dengan badan pengendali liga itu bakal menggunakan trak bergerak untuk operasi VAR yang akan diletakkan di stadium pada hari perlawanan.

Katanya, pendekatan terbabit bakal menelan belanja sehingga tiga kali berbanding pelaksanaan biasa namun ia disifatkan sebagai langkah penyelesaian terbaik bagi mengatasi halangan seperti kekuatan internet dan penyediaan infrastruktur di stadium.

Selain itu, Stuart berkata, pihaknya akan berusaha mencari lebih banyak penaja dalam usaha menampung peningkatan kos berkenaan dan ketika ini inisiatif berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 1:23 PM