RIZAL mahu Kedah kembali bangkit mencapai era kegemilangan. -FOTO KDA FC
RIZAL mahu Kedah kembali bangkit mencapai era kegemilangan. -FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Tonggak pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Rizal Ghazali berazam kembali membantu Sang Kenari merangkul sekurang-kurangnya satu piala pada saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Pemain kelahiran Baling yang juga bekas pemain Sabah FC selama dua musim lalu itu berkata, dia mengakui merindui zaman kegemilangan Kedah seperti yang pernah dilaluinya bersama pasukan sejak 2016 lalu.

"Selepas saya tinggalkan Kedah dua tahun lalu, banyak pengalaman yang saya kutip dan kini saya pulang ke Kedah untuk buat 'comeback'.

"Insya-Allah mudah-mudahan akan ada sinarnya dan saya juga berharap pasukan KDA FC dapat meraih satu piala pada tahun ini.

"Pada saya, pasukan Kedah musim ini mampu pergi lebih jauh. Walaupun suasana nampak macam 'sunyi', tetapi saya harap penyokong datanglah dahulu ke stadium dan tengok macam mana nanti," katanya.

Selain menghargai usaha pengurusan dan kejurulatihan KDA FC yang mahu beliau kembali ke Kedah, Rizal yang kini berusia 31 tahun ini juga berkata dia sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh penyokong setia Kedah.

"Pemain perlukan sokongan semua pihak dan ini termasuk rakan saya Baddrol Bakhtiar yang sudah pun balik semula ke sini (Kedah). Walaupun kini Baddrol bergelar Yang Berhormat dan bukan sebagai pemain, dia juga boleh memainkan peranan menyokong kami semua sebagai pemain dari belakang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 1:52 PM