RIZAL bersama bekas rakan sepasukannya, Baddrol. FOTO Instagram rizalghazali15
RIZAL bersama bekas rakan sepasukannya, Baddrol. FOTO Instagram rizalghazali15
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Terima kasih YB BB7 (Baddrol Bakhtiar) cepat buat kerja." Ringkas tapi cukup bermakna daripada pemain Sabah FC, Rizal Ghazali menerusi kapsyen disertakan gambar bersama bekas rakan sepasukannya, Baddrol di Instagram miliknya.

Malah bekas ketua pasukan KDA FC itu turut membuat naik gambar mereka berdua Instragram story. "Done deal," kata Baddrol.

Adakah Rizal memberi bayangan dirinya akan pulang ke pasukan lamanya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas berjaya mencapai kata sepakat dengan Baddrol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Baddrol Bakhtiar.

Baddrol kini bukan lagi pemain bola sepak yang aktif di liga profesional apabila dia lebih memberi tumpuan penuh kepada kerjaya politiknya namun pengaruh yang ada pada dirinya juga tidak boleh dilupakan.

Dengan prestasi tidak menentu pasukan dari utara itu, sebagai seorang pemain yang digelar legenda KDA FC, sudah pasti beliau akan cuba membantu bekas pasukannya mendapat pemain terbaik untuk membolehkan Nafuzi Zain membentuk kembali skuad yang ampuh.

Rata-rata peminat peminat amat teruja dan tidak sabar untuk melihat anak jati itu kembali menyarung jersi Kedah.

"Mantap abang Rizal. Selamat kembali ke rumah (KDA FC) 2024 main dengan Kedah ya. Rindu kereta kebal," kata Matmin Dangwangi.

"Terima kasih Jai (Rizal Ghazali) sudi bermain untuk Sabah. Selamat kembali ke Kedah 2024," kata Sabri0404. "Selamat datang kembali (KDA FC," kata Afq.zkri.

Adakah ini bermakna ini musim terakhir pemain pertahanan kanan itu bersama Sabah FC? Apakah Baddrol berjaya memberi tawaran menarik sehingga Rizal sanggup meninggalkan Sabah FC?

Rizal dan bekas rakan sepasukannya di Sabah FC itu amat rapat malah mereka juga seiring dan sejalan ke Borneo selepas dilepaskan oleh KDA FC. Malah ketika Rizal berhadapan kes di mahkamah, Baddrol antara rakan yang selalu berada di sampingnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 3:58 PM