TIMBALAN Presiden MAFA, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.
TIMBALAN Presiden MAFA, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Persatuan Bola sepak Melaka (MAFA) tidak akan menyertai saingan Liga Super 2024 walaupun timbul desas desus mereka bakal menghantar pasukan di pentas liga berprestij itu.

Timbalan Presiden MAFA, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, pihaknya sudah memulakan perbincangan dengan sebuah kelab Liga M3 (AFL) sejak sebulan lalu berkaitan hasrat persatuan itu beraksi di Liga Super.

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan tiada kata pemutus dan persetujuan akhir bagi membolehkan MAFA membeli kelab terbabit.

Menurutnya, susulan tiada kata sepakat bersama dicapai, pihaknya terpaksa melupakan saingan Liga Super musim ini walaupun pada dasarnya MAFA sudah bersedia.

"Kami masih bersedia menyertai Liga Super 2024 jika diberi lesen penyertaan di bawah MAFA walaupun saingan liga berkenaan bakal bermula tidak lama lagi.

"Jika diberi kebenaran (lesen), sudah pasti kami akan menyertai saingan musim ini biarpun tempoh persediaan makin suntuk. Ia susulan kami tidak mendapat persetujuan bersama dengan kelab Liga M3 berkenaan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, persatuan akur jika masih gagal menyertai saingan musim ini, namun pada masa sama merangka strategi untuk menyertai saingan liga musim depan dengan persiapan rapi termasuk mencari dana penajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 9:49 PM