CLEYLTON sah menyarung jersi KDA FC pada pada musim ini. FOTO Ihsan KDA FC
CLEYLTON sah menyarung jersi KDA FC pada pada musim ini. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Penantian penyokong untuk mengetahui siapa pemain import pertahanan terbaru Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini berakhir apabila Jose Cleylton de Morais dos Santos diumum bersama Sang Kenari untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Cleylton yang berasal dari Fortaleza, berusia 31 tahun, pernah beraksi bersama pasukan Sao Paulo di Liga utama Brazil dan juga kelab di Portugal, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain sebelum ini.

Faktor ketinggiannya 1.90 meter turut diyakini memberi kelebihan ketika bertahan dan memberi dinamik dalam aspek serangan ketika situasi bola mati.

Pengumuman kemasukan Cleylton itu dibuat media rasmi KDA FC petang tadi, sekali gus menjadikan pemain pertahanan kental ini sebagai pemain import kelima buat skuad kendalian Nafuzi Zain musim ini.

"KDA FC dengan bangga mengumumkan ketibaan Jose Cleylton de Morais dos Santos, pemain berasal dari Fortaleza, Brazil, beraksi bersama pasukan Ipatinga FC musim lepas bakal mengisi posisi pertahanan tengah Sang Kenari.

"Pemain yang mesra dipanggil Cleylton ini memulakan karier bersama pasukan Sao Paulo di Liga Brazil, pernah beraksi suatu ketika di Asia dan juga rakan sepasukan dengan Habib Haroon ketika di Bahrain.

"Cleylton yang berketinggian 1.90 meter memiliki fizikal yang sesuai untuk mengemudi benteng tengah pertahanan pasukan yang memerlukan suntikan pemain import di bahagian penting berkenaan.

Cleylton juga diyakini akan memperkuatkan benteng terakhir dan akan bergandingan dengan pemain tempatan berpengalaman seperti Rizal Ghazali, Wan Amirul Afiq, Akmal Md Zahir dan Zambri Pin dan Ariff Farhan.

Turut dimaklumkan, ketibaan Cleylton yang sepatutnya tiba pada pukul 8.10 malam di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas Alor Setar tertangguh akibat penangguhan penerbangan sebelum ini dari Istambul, dan beliau dijangka hanya akan tiba di Alor Setar esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 9:22 PM