Anggota penguatkuasa menyita barangan perniagaan pada operasi bersepadu dijalankan di empat premis di tiga lokasi masing-masing di Seremban dengan kerjasama tiga agensi lain. FOTO AZRUL EDHAM
Anggota penguatkuasa menyita barangan perniagaan pada operasi bersepadu dijalankan di empat premis di tiga lokasi masing-masing di Seremban dengan kerjasama tiga agensi lain. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Amaran sudah diberi dan barangan sudah disita beberapa kali namun dua premis makanan di daerah ini masih berdegil menjalankan operasi tanpa lesen.

Malah, dua restoran ini cukup berani mencabar pihak berkuasa apabila turut dikesan menggajikan warga asing tanpa dokumen sah ketika operasi yang dijalankan sekali lagi, petang semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Masri Razali berkata, operasi bersepadu dijalankan di empat premis di tiga lokasi masing-masing di Seremban dengan kerjasama tiga agensi lain.

"Lokasi pertama di sebuah restoran di Pusat Komersial Bukit Blossom yang mana kami menyita peralatan mereka kerana didapati beroperasi tanpa lesen selain dikesan melakukan lima kesalahan lain antaranya iklan tanpa permit, binaan tambahan tanpa permit dan halangan awam.

"Pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga menahan seorang pekerja lelaki warga India dan tiga lelaki Myanmar kerana disyaki tiada dokumen sah," katanya, hari ini.

Tambah beliau, lokasi kedua di Pusat Komersial Universiti, Seremban 3, di sini, yang menyaksikan dua lelaki warga Thailand dan seorang lelaki warga India disyaki pekerja restoran ditahan kerana melanggar peraturan imigresen.

"Premis ini juga tiada lesen perniagaan selain turut dikenakan tiga kompaun lain. Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM1,200.

"Bagi kedua-dua premis ini, pihak MBS sudah beberapa kali menyita barangan mereka kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pemilik premis pernah membuat tuntutan dengan syarat perlu memohon lesen.

"Selepas satu tempoh masa, kami mendapati kedua-duanya masih beroperasi tanpa lesen selepas mendapat balik peralatan mereka yang disita seolah sangat degil," katanya.

Masri berkata, pemeriksaan terakhir di dua premis di Pusat Komersial Oakland yang turut dikesan beroperasi tanpa lesen selain turut disyaki dimiliki warga asing.

"Seramai tiga lelaki dan wanita warga Thailand ditahan di premis pertama manakala premis kedua membabitkan dua lelaki Pakistan. Barangan dan peralatan mereka disita selain dikenakan kompaun bagi beberapa kesalahan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 2:47 PM