CAMARA (kiri) meraikan jaringannya. FOTO Agensi
CAMARA (kiri) meraikan jaringannya. FOTO Agensi
AFP

Paris: Mahdi Camara menjaringkan hatrik untuk membantu Brest menumbangkan Strasbourg 3-0 dan kekal di tempat kedua dalam saingan Ligue 1 sekali gus kekal di landasan tampil dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Hasil kemenangan itu membolehkan Brest kekal 10 mata di belakang juara bertahan Paris Saint-Germain yang menerima kunjungan Rennes.

Camara membuka jaringan selepas 33 minit apabila dia memanfaatkan situasi kelam kabut pertahanan Strasbourg dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Alaa Bellaarouch.

Tujuh minit kemudian, pemain tengah berusia 25 tahun itu menjadikan kedudukan 2-0 dengan menyempurnakan hantaran lintang Martin Satriano.

Dia melengkapkan hatrik pertama dalam kariernya dengan menyempurnakan sepakan penalti setengah jam kemudian untuk menoktahkan kemenangan buat pasukannya.

Brest tidak pernah tewas dalam 12 perlawanan Ligue 1 dengan kekalahan terakhir mereka kembali pada 5 November lalu.

Manakala Strasbourg yang dibimbing pemenang Piala Dunia Perancis, Patrick Vieira mengalami nasib berbeza apabila mencatatkan kekalahan keempat berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 10:11 AM