CAMARA dilihat menutup logo anti-homofobia pada bajunya. FOTO AGENSI
CAMARA dilihat menutup logo anti-homofobia pada bajunya. FOTO AGENSI
AFP

Paris: Pemain bola sepak Monaco, Mohamed Camara digantung selama empat perlawanan kerana menutup logo anti-homofobia pada bajunya dalam perlawanan Ligue 1, umum Liga Perancis (LFP).

"Memutuskan untuk mengenakan penggantungan selama empat perlawanan selepas mendengar keterangan pemain, Mohamed Camara dan mengambil maklum mengenai penolakannya untuk melaksanakan satu atau lebih kempen kesedaran dalam perjuangan menentang homofobia," kata LFP.

Camara memilih untuk tidak menyokong kempen liga Perancis menentang homofobia dengan menutup logo di hadapan bajunya semasa dia bermain untuk Monaco menentang Nantes dalam perlawanan terakhir musim pada 19 Mei lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu juga memilih untuk tidak menyertai sesi bergambar secara berkumpulan di mana kedua-dua pasukan berdiri di belakang sepanduk yang menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ).

Pemain dari Mali itu boleh dikenakan penggantungan 10 perlawanan di bawah peraturan disiplin Persekutuan Bola Sepak Perancis.

"Kami mengambil maklum dan menghormati keputusan liga dan kami tidak akan merayu keputusan ini," kata pengurus besar Monaco, Thiago Scuro kepada AFP.

"Kebimbangan kami adalah untuk menangani situasi ini, untuk menjelaskan pendirian kelab mengenai perkara ini, dan untuk menjelaskan kepada Mo (Camara) bahawa tingkah lakunya mungkin berbeza.

"Monaco menyokong tindakan liga, memerangi diskriminasi, tindakan menentang homofobia, ia jelas bagi kami, ia juga jelas untuk Mo," tambah Scuro.

Selepas perlawanan awal Mei lalu, Scuro berkata Camara tidak mengambil bahagian dalam kempen itu 'kerana faktor agama'.

"Ia adalah subjek yang sangat sensitif kerana kita juga perlu menghormati semua agama. Tetapi sebagai sebuah organisasi, kami sangat sedih dengan perkara ini dan kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak menyokong tindakan ini," kata Scuro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 7:46 AM