PENYERANG PSG Kylian Mbappe meledak rembatan ketika menentang Brest.
PENYERANG PSG Kylian Mbappe meledak rembatan ketika menentang Brest.
Reuters

Paris: Paris St Germain mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum seri 2-2 di tempat sendiri ketika menentang Brest sekali gus terlepas peluang mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Ligue 1.

Skuad Luis Enrique yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Bradley Barcola dibuang padang pada masa kecederaan kekal di puncak dengan 44 mata, enam mata di depan pasukan tangga kedua Nice manakala Brest di tangga ke tiga dengan 35 mata, satu mata di depan AS Monaco.

"Mudah dijelaskan, kami hilang kawalan dalam permainan. Ia bola sepak bukan bola keranjang dan ia boleh berlaku," kata Luis Enrique kepada Prime Video.

"Ada dua situasi sangat berbeza, babak pertama yang menarik antara yang terbaik musim ini," kata jurulatih dari Sepanyol itu ketika sidang media.

"Kemudiannya selepas rehat antara yang terburuk musim ini. Malah kami boleh tewas. Kami fikir perlawanan sudah tamat tapi ia menjadi sebaliknya."

Skuad ibu kota itu akan menentang Strasbourg pada Jumaat ini sebelum berdepan Brest sekali lagi di tempat sendiri dalam aksi peringkat 16 terakhir Piala Perancis minggu depan.

"Aksi hari ini membayangkan kejohanan Piala bakal menjadi sangat sukar. Saya marah dan apa yang berlaku hari ini tidak diulangi. Brest tanpa diragui antara kelab terbaik di liga Perancis," kata Enrique lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 12:18 PM