MAURICIO Pochettino (kiri) menerima kritikan hebat daripada peminat Chelsea. FOTO AFP
MAURICIO Pochettino (kiri) menerima kritikan hebat daripada peminat Chelsea. FOTO AFP
AFP

London: Mauricio Pochettino menegaskan penyokong Chelsea tidak seharusnya menilai beliau berdasarkan jumlah trofi yang dimenanginya pada peringkat awal kariernya di Stamford Bridge.

Pochettino menerima kritikan daripada penyokong yang marah terhadap musim pertama pasukan itu di bawah bimbingannya.

Chelsea merosot di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL), 25 mata di belakang pendahulu, Liverpool, lawan yang akan mereka hadapi pada perlawanan akhir Piala Liga di Wembley, esok.

Pochettino berharap untuk menghadiahkan trofi pertama Chelsea sejak pemilik bersama, Todd Boehly membeli kelab itu daripada Roman Abramovich pada Mei 2022.

Beliau juga menyasarkan untuk memenangi piala buat kali pertama di England, selepas muncul naib juara Piala Liga pada 2015 semasa mengendalikan Tottenham.

Tetapi Pochettino menegaskan bahawa memenangi trofi sahaja tidak menentukan kejayaan kerjanya di Chelsea, yang sudah membelanjakan lebih £1 bilion (RM6.05 bilion) untuk membeli pemain baharu pada era Boehly.

Mengambil contoh peningkatan beransur-ansur Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp sebelum memenangi enam trofi utama setakat ini sepanjang sembilan tahun pemerintahannya, Pochettino berkata: "Klopp bagus sebelum dia tiba di Liverpool. Dia mempunyai tiga atau empat tahun yang dia tidak menang. Kini dia memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana.

"Saya tidak menilai kejayaan jurulatih atau kakitangan kejurulatihan berdasarkan kepada memenangi gelaran. Ia mengenai daya saing dan menang serta terlalu banyak faktor lain yang mempengaruhinya.

"Jika anda mempunyai pemain yang bagus, anda sepatutnya hampir kepada kemenangan. Mungkin semua orang akan mengatakan anda jurulatih terbaik di dunia. Tetapi mereka juga tahu ia tidak seperti itu.

"Anda perlu berada pada masa yang tepat, di kelab yang betul yang mempercayai anda dan kemungkinan ada harapan untuk menang.

"Sesetengah peminat akan mengatakan anda tidak bagus kerana anda tidak menang. Bagi saya, ia bukan caranya untuk menilai kakitangan kejurulatihan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 7:51 AM