POCHETTINO anggap Wenger sebagai pengurus istimewa. FOTO/AFP
POCHETTINO anggap Wenger sebagai pengurus istimewa. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Bos Arsenal, Arsene Wenger seorang “pengurus istimewa” dan salah seorang pencipta inovasi terhebat bola sepak Inggeris, kata pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menjelang pertembungan tetangga dua kelab London itu, esok.

Pochettino masih belum tewas dalam enam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal sejak tiba dari Southampton pada 2014 dan musim lalu, Tottenham menamatkan saingan liga di atas Gunners buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.

Tottenham yang menghuni tangga ketiga liga memiliki kelebihan empat mata di depan Arsenal musim ini tetapi pengendali dari Argentina itu enggan mendabik dada atau mengkritik Wenger yang disifatkan antara idolanya.

“Dalam sejarah bola sepak, beliau salah seorang pengurus terhebat, berada di tahap yang sama dengan (bekas pengurus Manchester United) Ferguson,” kata Pochettino.

SUPRS tidak pernah menang di Emirates selama tujuh tahun. FOTO/AFP
SUPRS tidak pernah menang di Emirates selama tujuh tahun. FOTO/AFP

“Beliau sentiasa pengurus yang istimewa. Untuk kekal bermotivasi lebih daripada tiga tahun adalah sukar. Lima tahun, anda perlu amat bagus, lebih bagus jika anda sudah 10 tahun.

“Apabila anda bercakap mengenai 20 tahun (pengalaman), ia menakjubkan. Semua orang yang bercakap mengenainya perlu menunjukkan rasa hormat. Ada harinya anda bagus, ada kalanya tidak bagus. Tapi tunjukkan rasa hormat.”

Pochettino masih belum memenangi sebarang trofi bersama Tottenham ketika Wenger sudah mengumpul tiga gelaran EPL sekalipun yang terakhir pada 2004 dan tujuh koleksi Piala FA tetapi pasukan itu terlepas aksi saingan Liga Juara-Juara, musim ini.

PEMAIN Arsenal gigih berlatih.
PEMAIN Arsenal gigih berlatih.

Pochettino berkata, Wenger salah seorang pengurus yang dikaguminya ketika beliau memulakan karier pengurusan di Espanyol.

“Wenger pencipta inovasi, mendahului semua orang, seperti Ferguson,” kata Pochettino. “Kerana itu hormat saya terhadapnya terlalu tinggi dan saya amat kagum dengannya.”

Ketika Tottenham mula menunjukkan keseimbangan di utara London selepas bertahun-tahun didominasi Arsenal, mereka masih gagal menang di Emirates selama tujuh tahun.

Tiga pertembungan terakhir liga membabitkan kedua-dua pasukan berakhir seri 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 10:15 AM