AKHYAR ikat kontrak setahun secara pinjaman bersama TFC. FOTO Ihsan TFC
AKHYAR ikat kontrak setahun secara pinjaman bersama TFC. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Keinginan untuk menambah minit permainan mendorong bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid memilih Terengganu FC (TFC) sebagai destinasinya dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Tambah pemain sayap kebangsaan berusia 25 tahun itu, kebangkitan yang dijelmakan skuad Penyu itu terutama selepas muncul naib juara Piala Malaysia selain beraksi di pentas Asia pada musim lalu turut mendorongnya untuk menyarung jersi TFC.

"Kali pertama bermain bersama pasukan Pantai Timur sudah tentu saya begitu terharu, lagipun saya lihat pasukan TFC bawah kendalian Tomislav Steinbruckner begitu lengkap di setiap posisi.

"Tambahan pula sebahagian besar pemain yang menyarung jersi pasukan ini adalah dalam kalangan anak tempatan yang berbakat besar, jadi ini menambah lagi minat saya untuk menimba ilmu di sini (Terengganu).

"Selain itu saya juga berhasrat untuk menambah minit permainan lebih-lebih lagi skuad TFC bukan calang-calang pasukan sebagaimana dibuktikan musim lalu dalam saingan Liga M dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia)," kata Akhyar.

Bagaimanapun pemain kelahiran Kedah yang pernah berguru bersama Akademi Cardiff City ketika berusia 15 tahun itu sedar tiada 'lesen' besar buatnya untuk berada dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Steinbruckner itu.

Jelasnya, dia perlu menambat hati jurulatih kelahiran Croatia itu apatah lagi barisan yang dimiliki TFC pada musim ini tidak kurang hebatnya.

"Bukan tugas mudah, namun saya akan berusaha lebih keras lagi termasuk memberi kepercayaan kepada jurulatih baharu saya, harap saya boleh bekerjasama dengan barisan kejurulatihan dan juga rakan sepasukan," katanya.

Semalam, Akhyar, yang bakal menyarung jersi bernombor 33, diperkenalkan secara rasmi pihak pengurusan TFC bersama rakan sepasukannya di JDT, Safawi Rasid dengan kontrak selama semusim secara pinjaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 1:35 PM