SAFAWI Rasid (kanan) ketika menjalani latihan dengan pasukan baharunya, TFC. FOTO GHAZALI KORI
SAFAWI Rasid (kanan) ketika menjalani latihan dengan pasukan baharunya, TFC. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tonggak baharu Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid akui begitu teruja apabila kembali berguru dengan bekas ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner.

Jelas pemain kelahiran Dungun berusia 27 tahun itu, paling diingati satu pesanan ringkas dalam bahasa Inggeris yang masih melekat dalam hatinya sehingga kini.

Jelas bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, pesanan jurulatih kelahiran Croatia yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu menjadi 'azimatnya' sehingga kini walaupun sudah sembilan tahun berlalu ketika menyarung jersi skuad T-Team pada 2015.

Kata pemain yang pernah berkelana bersama kelab Portimonense dalam Liga Portugal itu, dia berterima kasih kepada Tommy dan bekas jurulatihnya ketika menyarung jersi JDT dan skuad kebangsaan.

"Pesanan Tommy iaitu 'dont loose the ball, keep position, keep hard' yang diungkap sembilan tahun lalu ketika saya menyarung jersi kelab T-Team masih diingati sehingga kini.

"Ketika itu saya masih muda dan kurang lagi daripada segi pengalaman, jadi selain latihan berterusan dan bersungguh-sungguh, kata-kata Tommy itu menjadi pegangan dalam diri sebagai pemain bola sepak sehingga kini.

"Kini saya kembali semula mendapat tunjuk ajar daripada Tommy, saya begitu teruja dan gembira dengan harapan dapat meningkatkan lagi prestasi terutama selepas mendapat bimbingan daripada barisan kejurulatihan JDT sebelum ini.

"Terima kasih buat Tommy dan semua barisan kejurulatihan TFC, JDT dan skuad kebangsaan yang membimbing, saya akan berusaha lebih gigih lagi," kata pemain yang lebih mesra dipanggil 'Pawi' itu.

Terdahulu pemain sayap itu bersama rakan pasukannya dalam skuad JDT, Akhyar Rashid memilih skuad Penyu sebagai destinasinya bagi musim 2024/2025 selepas dilepaskan secara pinjaman oleh JDT selama semusim.

Bagaimanapun dua pemain itu terpaksa menjadi penonton jika TFC bertembung dengan skuad Harimau Selatan itu kerana terikat dengan 'perjanjian budiman' sebagaimana Liridon Krasniqi ketika menyarung jersi skuad Penyu itu pada musim lalu.

TFC yang muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu akan mengumumkan seorang lagi pemain import baharu di posisi tengah tidak lama lagi bagi melengkapkan kuota enam tonggak import yang mahu disenaraikan skuad itu pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:02 PM