AKHYAR dan Safawi tambah sengat TFC musim ini.
AKHYAR dan Safawi tambah sengat TFC musim ini.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bintang baharu Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid berkeyakinan mampu membentuk persefahaman mantap dalam pasukan baharunya itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Malah lebih meningkat lagi keyakinan pemain berusia 25 tahun itu kehadiran rakan sepasukannya ketika menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid bersama skuad Penyu.

"Saya berkeyakinan mampu membentuk keserasian bersama rakan sepasukan dalam mengharungi saingan Liga M pada musim ini biarpun saya pemain baharu dalam skuad.

"Kehadiran rakan sepasukan ketika bersama JDT, Safawi juga menambah lagi motivasi dan keyakinan saya untuk membantu TFC mara lebih jauh lagi pada musim ini.

"Lagipun pasukan TFC ini sudah lengkap sepenuhnya dengan dibarisi pemain berkualiti sekali gus mampu menjadi pencabar dalam saingan liga nanti," katanya.

Terdahulu kem TFC antara pasukan terawal memulakan latihan pertamanya sejak 15 Februari lalu bawah kendalian ketua jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner sebagai persiapan awal menjelang sepak mula Liga Super pada 10 Mei ini hingga Mei 2025.

"Penghijrahan saya ke TFC atas keinginan saya bertujuan untuk menambahkan lagi minit permainan bagi memastikan corak permainan saya meningkat dari semasa ke semasa.

"Ia juga sebagai persediaan untuk mengintai peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan," ujar pemain kelahiran Kedah yang pernah berguru bersama kelab Cardiff City di England ketika berusia 15 tahun.

Sebelum ini TFC menamatkan penantian peminat setia skuad Penyu itu apabila mengikat dua bekas tonggak JDT itu secara pinjaman selama semusim selain membawa masuk bekas 'arkitek' Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Akram Mahinan.

Turut menjadi rekrut terbaharu skuad TFC penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade dan pertahanan kelahiran Belanda, Matthew Steenvoorden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 8:38 PM