SAFAWI mahu berikan yang terbaik untuk TFC. -FOTO Ihsan TFC
SAFAWI mahu berikan yang terbaik untuk TFC. -FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap, Safawi Rasid mengakui begitu teruja untuk berguru sekali lagi dengan pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner bagi musim 2024/2025.

Jelas bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, kali pertama dia menuntut ilmu dengan jurulatih kelahiran Croatia berkenaan ialah pada tahun 2015 ketika menyarung jersi kelab T-Team sebelum berhijrah bersama skuad Harimau Selatan pada tahun 2017.

Bagaimanapun pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu sedar corak latihan terdahulu dan sekarang pastinya berbeza lebih-lebih lagi ketika itu dia baru berusia 18 tahun.

"Sejujurnya saya tidak dapat gambarkan betapa gembiranya kerana sekali lagi bakal bekerjasama dan berlatih di bawah kendalian Tommy (Steinbruckner) dalam pasukan TFC pada musim ini.

"Ini kerana kali terakhir saya berlatih bawah kendalian Tommy kira-kira sembilan tahun lalu ketika beliau menjadi ketua jurulatih T-Team, pada masa itu saya masih mentah lagi daripada segi pengalaman.

"Jadi latihan pertama TFC pada Khamis ini, sejujurnya saya bagaikan tidak sabar untuk bertemu dan berguru sekali lagi dengan Tommy yang pernah membimbing saya sebelum ini," kata tonggak skuad Harimau Malaya itu.

Ketika ditanya berkenaan perancangannya bersama pasukan negeri kelahirannya, pemain berusia 27 tahun itu berhasrat mahu melonjakkan lagi pencapaian skuad TFC berbanding musim lalu.

"Saya akan curahkan segala pengalaman yang ada untuk membantu pasukan baharu ini mencapai sasaran yang ditetapkan selain meraih pencapaian lebih baik berbanding musim lalu, pada masa sama saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan TFC yang sudi mengambil saya membarisi skuad pada musim baharu ini.

"Tambah menggembirakan saya apabila rakan sepasukan ketika bersama JDT dan skuad kebangsaan, Akhyar Rashid juga memilih TFC sebagai destinasi pada musim ini.

"Jadi saya begitu teruja untuk membuat penampilan pertama bersama Akhyar dalam pasukan TFC, saya harap sokongan padu daripada penyokong bakal menambah lagi motivasi kami ketika beraksi," katanya yang pernah beraksi bersama kelab Portimonense dalam Liga Portugal pada tahun 2020 dan kelab Thailand, Ratchaburi FC tahun lalu.

Semalam Safawi yang bakal menyarung jersi bernombor 11 diperkenalkan secara rasmi pihak pengurusan TFC dengan kontrak selama semusim secara pinjaman daripada JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 1:37 PM