MOHAMMAD Nor Hakim pulang ke pangkuan bekas pasukannya. FOTO TFC
MOHAMMAD Nor Hakim pulang ke pangkuan bekas pasukannya. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Keinginan untuk berbakti kepada negeri kelahirannya mendorong bekas pemain Selangor FC, Mohammad Nor Hakim Hassan memilih Terengganu FC (TFC) sebagai destinasinya pada jendela kedua perpindahan pemain musim ini.

Jelas pemain sayap yang mampu bertindak sebagai penyerang itu, dia sudah lama menyimpan impian untuk kembali menyarung jersi Terengganu selepas kali terakhir pada 2014 bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Abdul Rahman Ibrahim.

"Sebenarnya pasukan Terengganu sentiasa dalam ingatan dan menjadi impian saya untuk menyarung jersi pasukan ini walaupun sebelum ini saya pernah bersama TFC bawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman.

"Kini impian itu menjadi realiti apabila saya kembali mewarnai pasukan negeri kelahiran, apa yang pasti saya berazam untuk membantu pasukan ini mencapai kejayaan yang lebih baik dalam kancah Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan juga Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia)," jelas Nor Hakim.

Ketika ditanya faktor lain yang mendorongnya kembali ke pangkuan TFC selepas hampir sembilan tahun berkelana bersama kelab lain, tanpa berselindung bekas pemain kebangsaan itu akui faktor jurulatih, Tomislav Steinbruckner juga turut menguatkan lagi punca dia memilih skuad Penyu.

Jelas Nor Hakim, dia mahu kembali berguru semula dengan bekas jurulatihnya itu yang pernah melatih kelab T-Team pada 2015 ketika dia menyarung jersi kelab dari Terengganu itu.

"Saya sangat faham apa yang diinginkan oleh oleh Tommy (Tomislav Steinbruckner) yang juga bekas jurulatih saya ketika menyarung jersi T-Team FC pada tahun 2015, saya sudah biasa dengan kaedah latihan dan pembentukan disiplin yang diinginkan beliau.

"Bagaimanapun mungkin corak latihan bakal berbeza pada kali ini kerana dulu membimbing T-Team selain zamannya berbeza, tapi saya anggap itu semua sebagai cabaran untuk cepat memahami apa yang direncanakan oleh jurulatih. Apa yang pasti saya tidak sabar untuk menyarung jersi TFC selepas pintu jendela kedua dibuka bermula 5 Julai ini," katanya.

Sebelum ini, Nor Hakim menyarung jersi skuad The Red Giants selama empat musim bermula 2020 selain pernah membantu pasukan Perak merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada 2018 menumpaskan Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas kedudukan sehingga masa tambahan terikat 3-3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 12:27 PM