REAKSI kecewa Pochettino ketika pasukan bimbingannya tewas kepada Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge, dua hari lalu. FOTO AFP
REAKSI kecewa Pochettino ketika pasukan bimbingannya tewas kepada Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge, dua hari lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino berkata beliau menerima 'teks yang baik' daripada pemilik kelab ketika sedang berdepan tekanan berikutan kekalahan berturut-turut dialami skuad bimbingannya itu.

The Blues jatuh ke tangga ke-11 di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 2-4 di tempat sendiri kepada Wolverhampton Wanderers.

Chelsea sudah membelanjakan lebih daripada £1 bilion (RM5.9 bilion) untuk membeli pemain sejak Todd Boehly mengambil alih kelab itu pada Mei 2022 dan hanya memenangi sembilan perlawanan Liga Perdana musim ini.

"Saya rasa kami semua bersatu hati dan ia adalah amat penting.

"Saya menerima teks yang sangat baik daripada (pemilik kelab). Sudah tentu saya berhubung dengan mereka dan pengarah sukan setiap hari," katanya lagi.

Tekanan memuncak untuk pengurus Chelsea dari Argentina itu, yang menyaksikan pasukannya tewas 1-4 kepada Liverpool empat hari sebelum kekalahan di tangan Wolves.

Mereka ketinggalan 15 mata daripada kedudukan empat teratas Liga Perdana dan lima mata di belakang pesaing London, West Ham United di tempat ketujuh.

Walaupun melakukan pelaburan besar dalam kelab itu sejak Boehly membeli Chelsea daripada Roman Abramovich, The Blues mencatatkan penamat terendah dalam era Liga Perdana iaitu di tangga ke-12 daripada 20 pasukan pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 10:56 PM