PEMAIN Chelsea  Nicolas Jackson terjatuh selepas diasak dua pemain Newcastle. FOTO Reuters
PEMAIN Chelsea Nicolas Jackson terjatuh selepas diasak dua pemain Newcastle. FOTO Reuters
AFP

Newcastle: Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino berang dan melabelkan pemainnya 'lembut' dan lembik selepas tewas 4-1 di tangan skuad kedua Newcastle malam semalam.

The Blues gagal mengulangi momentum mereka ketika menang 4-1 di Tottenham dan seri 4-4 menentang juara bertahan Manchester City sebelum rehat aksi antarabangsa.

Benteng pasukan pelawat robek selepas rehat di St James' Park apabila Newcastle seperti tiada masalah walaupun berdepan krisis kecederaan yang menyebabkan Eddie Howe kehilangan 13 pemain utama.

"Kami sepatutnya beraksi di sini dengan tujuan untuk menang dan menyukarkan mereka," kata Pochettino.

"Tapi sebaliknya kami sangat mudah melepaskan gol dan kami sangat lembut dalam setiap cabaran. Kami tidak tunjukkan betapa perlawanan ini penting.

"Ini yang menyebabkan saya marah dan kecewa. Kami bercakap mengenai pasukan muda dan perlu belajar. Namun dengan cara permainan seperti ini, saya sangat-sangat marah kerana ia mengenai personaliti dan karakter anda."

Kekalahan menyebabkan Chelsea terperosok di tangga ke-10 liga walaupun berbelanja lebih £1 bilion (RM5.9 bilion) untuk mendapatkan pemain baharu kurang dalam tempoh dua tahun di bawah konsortium Todd Boehly.

Raheem Sterling menyamakan kedudukan selepas Newcastle terlebih dahulu di depan menerusi Alexander Isak pada awal babak pertama untuk kedua-dua pasukan terikat sebelum rehat.

Tetapi Chelsea rebah memasuki babak kedua selepas dua gol dalam tempoh dua minit daripada Jamaal Lascelles dan Joelinton membolehkan Newcastle menguasai perlawanan.

Kapten Chelsea, Reece James dibuang padang selepas mengutip dua kad kuning sebelum Antony Gordon menambah derita skuad Pochettino pada lewat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 8:08 AM