PENYOKONG MBA   menonton perlawanan antara Chelsea menentang Fulham.
PENYOKONG MBA menonton perlawanan antara Chelsea menentang Fulham.
Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: 'Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!'

Itu peribahasa tepat menggambarkan perjalanan empat penyokong Chelsea dari Malaysia Blues Army (MBA) yang melakukan 'stadium hopping' apabila bukan setakat menyaksikan perlawanan Chelsea FC di Stamford Bridge malah turut berkunjung ke beberapa stadium lain di England.

Dalam tempoh enam hari lima malam, Zul Fazlie Jabar, 42 ; Mohd Fahri Kamaluddin, 40 ; Mohammad Syafiq Mohd Aznan, 34 dan Hariz Rahimi Roslan Hanif, 30, berkesempatan mengunjungi 'rumah' 12 pasukan yang beraksi dalam pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Malah, mereka sempat mengunjungi pasukan yang pernah beraksi di EPL milik taikun Malaysia, Tan Sri Vincent Tan iaitu Cardiff City dalam perjalanan darat hampir 1,600 kilometer tidak termasuk perjalanan menggunakan tren di London serta perjalanan udara.

Berbekalkan kos kira-kira RM15,000 seorang, mereka terlebih dahulu 'berkeliaran' di London untuk mengunjungi empat stadium iaitu Stamford Bridge di mana mereka turut menonton 'Derbi London Barat' yang menyaksikan Chelsea menang 1-0 ke atas tetangga, Fulham FC.

Mereka mengunjungi stadium Fulham FC iaitu Craven Cottage, Stadium Emirates (Arsenal) dan Stadium London (West Ham) sebelum menempuh perjalanan 241km dari London ke Cardiff dan 284km lagi untuk tiba di Liverpool.

Goodison Park (Everton) dan Anfield (Liverpool) menjadi destinasi mereka sebelum menuju 56 kilometer lagi ke bandar Manchester bagi mengunjungi Old Trafford (Man United) dan Etihad (Man City) dan mengharungi perjalanan 354 km ke Edinburgh.

PENYOKONG MBA di hadapan tugu legenda Newcastle United, Alan Shearer.
PENYOKONG MBA di hadapan tugu legenda Newcastle United, Alan Shearer.

Dalam perjalanan dari Edinburgh ke Birmingham dengan jarak 468 km, mereka singgah ke St James Park (Newcastle) sebelum ke Molineux Stadium (Wolves) dan Villa Park (Aston Villa) selain tidak ketinggalan berkunjung ke Kenilworth Road milik Luton Town dalam perjalanan pulang ke London.

Menurut Zul Fazlie, ini kali keenam dia menyaksikan perlawanan Chelsea di Stamford Bridge namun ini kali pertama dia melakukan 'stadium hopping' dengan skala besar sehingga berjaya melawat berbelas stadium di England.

"Sebelum ini pun, memang saya ada ke beberapa stadium lain seperti Allianz Arena tetapi kali ini, saya merancang pendekatan lain untuk ke stadium pasukan EPL pula. Saya juga berpuas hati apabila kunjungan ke Stamford Bridge berakhir dengan kemenangan.

"Ada yang mempersoalkan mengapa sanggup menonton Chelsea kerana prestasi pasukan tidak berapa bagus, tetapi saya sudah merasai kalah dan menang apabila menyaksikan Chelsea di sana, jadi ini bukan isu besar buat saya.

"Setidak-tidaknya, ini juga satu bentuk sokongan ketika Chelsea berdepan masalah prestasi tetapi masih ada 'aura' untuk menarik penyokong datang memberi sokongan di stadium," kata Zul Fazlie.

Sementara itu, Fahri pula merealisasikan impiannya untuk menyaksikan pasukan 'The Blues' di hadapan mata dan menyifatkan kunjungan kali pertamanya di England sebagai kenangan yang tidak dapat dilupakan.

"Kalau dulu, tonton Chelsea di kedai mamak sahaja tetapi akhirnya, dapat juga tonton Chelsea secara langsung di Stamford Bridge. Idea berkunjung ke beberapa stadium pasukan EPL ini pun adalah satu cadangan yang bagus.

"Bukan sahaja kita dapat tengok Stamford Bridge tetapi dapat juga melihat stadium beberapa pasukan ternama. Saya tertarik dengan stadium Luton Town yang berada dalam taman perumahan dan pejabat tiketnya hanyalah rumah kedai.

"Insya-Allah ada perancangan lagi untuk ke sana pada masa akan datang dan mungkin mahu menambah koleksi stadium yang tidak berjaya dilawati pada kunjungan kali ini," katanya.

Hariz Rahimi pula menyifatkan dia 'bernasib baik' apabila tidak terlalu mengikut ramalan kaji cuaca sebelum terbang ke England dan bersiap sedia dengan baju sejuk yang sewajarnya.

"Sebelum pergi, saya menyemak purata suhu sekitar empat ke tujuh darjah celcius tetapi sampai sahaja di Lapangan Terbang Heathrow, saya terus menggigil kerana rupanya suhu boleh mencecah sehingga 0.

"Malah, suhu di Edinburgh mencecah -4 tetapi mujurlah saya membawa jaket tebal dan tidak bergelut dengan cuaca sejuk di sana walaupun ada merasai kesan cuaca sejuk seperti bibir pecah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 1:10 PM