MOUNT enggan menandatangani kontrak lanjutan dengan Chelsea dan mahu berpindah ke Manchester United. FOTO AFP
MOUNT enggan menandatangani kontrak lanjutan dengan Chelsea dan mahu berpindah ke Manchester United. FOTO AFP
Agensi

London: Wakil Mason Mount mengingatkan Chelsea bahawa mereka tidak akan menandatangani kontrak lanjutan pada musim panas ini selepas bidaan kedua Manchester United ditolak oleh The Blues.

Red Devils berazam untuk menjadikan pemain berusia 24 tahun itu sebagai pembelian pertama musim panas buat skuad bimbingan Erik ten Hag, tetapi nilai harga ditetapkan Chelsea menjadi masalah kepada pengarah di Old Trafford dalam usaha mereka mendapatkan khidmat pemain tengah menyerang pasukan England itu.

Mount dilihat sudah mengucapkan selamat tinggal kepada kelab itu pada hari terakhir musim Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila dia berjalan di sekeliling padang Stamford Bridge memberikan penghormatan kepada penyokong selepas seri 1-1 dengan Newcastle.

Sekalipun pada awalnya kedua-dua pihak bersedia untuk memuktamadkan kontrak baharu, Chelsea gagal memenuhi permintaan bayaran gajinya dan enggan berkompromi.

Hubungan antara wakil Mount dan kelab itu menjadi retak sebelum Mount melantik ejen baharu, Neil Fewings pada Mac lalu bagi mengurus masa depannya.

Fewings diberi tugas untuk memuktamadkan perpindahan ke Manchester United, tetapi Chelsea berkeras meminta £65 juta (RM385 juta) ketika mereka mahu memastikan perjanjian terbaik bagi satu daripada kejayaan produk akademi mereka.

Wartawan terkenal Itali, Fabrizio Romano melaporkan kem Mount sekali lagi memberitahu Chelsea mereka tidak akan menandatangani kontrak lanjutan selepas tawaran terbaharu United berjumlah £50 juta (RM296 juta) ditolak kelab barat London itu.

Tindakan itu difahamkan satu usaha untuk menekan Chelsea supaya bersetuju dengan perjanjian itu sebelum United meninggalkan meja rundingan.

United menegaskan mereka tidak akan membayar lebih banyak bagi perancang Chelsea itu yang hanya berbaki setahun dalam kontrak semasanya bersama kelab itu.

Bos baharu Chelsea, Mauricio Pochettino cuba sedaya upaya untuk mengekalkan Mount beraksi di London, tetapi pemain itu tetap teruja untuk berpindah ke Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 2:00 PM