BRAD Maloney. FOTO FB FAM
BRAD Maloney. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Teka-teki calon pengganti Brad Maloney masih misteri dengan beberapa nama dikaitkan untuk membimbing skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, selepas ini.

Begitupun Arena Metro yang cuba mengikuti perkembangan itu dimaklumkan oleh sumber bahawa pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon diberi peluang untuk menyenaraikan calon dilihat sesuai bagi mengemudi pasukan B-23.

Sumber berkata, kesinambungan falsafah permainan skuad senior harus dimulakan daripada skuad Harimau Muda itu bagi memudahkan Pan-gon untuk membentuk pasukan masa depan negara dengan satu DNA (asid deoksiribonukleik) yang sama.

"Difahamkan sudah ada perbincangan mengenai hal itu (calon jurulatih B-23). Tapi tak tahu siapa kerana Pan-gon mahu set jurulatih sama...yang tahu corak permainan sama dengan pasukan senior," kata sumber itu.

Ditanya adakah calon itu adalah barisan kejurulatihan sedia ada atau lebih tepat penolong pengendali Pan-gon iaitu Pau Marti Vicente atau E Elavarasan, sumber itu berkata: "Rasanya mungkin tidak kerana Pan-gon mahu Pau Marti fokus kepada skuad senior, begitu juga Elavarasan.

"Mungkin ada calon luar atau Pan-gon sendiri yang melatih, itu yang tidak pasti lagi," katanya.

Di media sosial, nama jurulatih skuad Olimpik Korea Selatan, Kim Hak Bum turut dikaitkan untuk mengemudi pasukan muda negara selain dua penolong Pan-gon itu.

Sebelum ini, sentuhan Pan-gon yang juga bekas jurulatih pasukan kebangsaan Hong Kong berjaya membawa dimensi baru dalam persembahan Harimau Malaysia dengan menekankan corak permainan berintensiti tinggi dan laju.

Hasilnya, skuad Harimau Malaya berjaya menamatkan sumpahan layak ke Piala Asia secara merit dengan kali terakhir layak pada 1980.

Malaysia layak ke Piala Asia 2023 pada tahun depan selepas muncul antara lima naib juara terbaik pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 8:35 PM